Thailand tarik balik rang undang-undang bina kasino

Thailand tarik balik rang undang-undang bina kasino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kabinet Thailand mengumumkan penarikan balik draf undang-undang bagi mewujudkan kasino dan kompleks hiburan lepas memutuskan memerlukan lebih masa untuk melibatkan rakyat dan memberi penerangan yang jelas mengenai isu tersebut.

Kerajaan sebelum ini merancang untuk membangunkan industri perjudian berskala besar sebagai pelengkap kepada sektor pelancongan yang menjadi pemacu utama ekonomi negara itu. 

Rang undang-undang untuk menghalalkan perjudian itu dijadualkan dibentang di Parlimen pada Rabu.

Namun, penangguhan tersebut dipercayai berpunca daripada perkembangan politik semasa, termasuk penggantungan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra daripada tugas oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lalu, serta tindakan Parti Bhumjaithai yang menarik diri daripada gabungan kerajaan bulan lalu. 

Krisis tersebut menyebabkan kerajaan kini hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen, sekali gus menjadikan proses meluluskan rang undang-undang itu berisiko tinggi.

“Rang undang-undang ini melibatkan perkara yang memerlukan masa untuk kefahaman awam.

“Oleh itu, adalah wajar untuk menarik balik rang undang-undang ini daripada perbincangan Parlimen,” kata jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub dalam satu kenyataan tanpa memberikan tarikh bila ia akan dikemukakan semula kepada Kabinet.

Ketika ini, perjudian adalah dilarang di Thailand, kecuali loteri, perlumbaan kuda yang dikawal kerajaan, dan beberapa sukan tertentu. 

Parti pemerintah, Pheu Thai pada mulanya berharap untuk menarik pelaburan baharu sekurang-kurangnya 100 bilion baht (RM13 bilion) melalui projek kasino dan kompleks hiburan, menjangkakan ketibaan pelancong asing akan meningkat sehingga 10 peratus jika ia dilaksanakan.

Namun rancangan tersebut menerima bantahan daripada sebahagian rakyat, malah beberapa parti politik juga memberi amaran pembinaan industri perjudian mungkin akan memburukkan masalah sosial sedia ada di negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN