MDEC perkenal geran RM2.9 juta untuk sektor AI, pembuatan

MDEC perkenal geran RM2.9 juta untuk sektor AI, pembuatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan dua geran baharu berjumlah RM2.9 juta bagi mempercepatkan transformasi digital dalam dua sektor strategik negara iaitu kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan.

Kelayakan untuk geran-geran ini hanya diberikan kepada syarikat yang memiliki status Malaysia Digital (MD) atau MSC Malaysia atau kepada syarikat yang sedang memohon status MD semasa permohonan geran dibuat. 

Dua geran baharu ini, Geran Pemecutan Digital Malaysia dan Kecerdasan Buatan (MDAG-AI) dan Program Insentif SmartMFG+ direka khas untuk menyokong syarikat tempatan berpotensi tinggi melalui galakan inovasi, pembangunan penyelesaian digital sedia eksport, serta penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil menyifatkan geran-geran ini sebagai tepat pada masanya dan bersifat strategik, memberikan lonjakan penting kepada agenda transformasi digital Malaysia.

“MDAG-AI mewujudkan rangka kerja asas bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai hab utama inovasi AI, manakala SmartMFG+ membentuk landasan untuk pendigitalan menyeluruh dalam industri pembuatan. 

“Secara keseluruhan, inisiatif-inisiatif ini menjadi enjin berganda dalam merealisasikan aspirasi digital negara,” katanya dalam kenyataan. 

Geran MDAG-AI direka khusus untuk menyokong syarikat digital Malaysia dalam pengkomersialan penyelesaian berasaskan AI. 

Ia menyasarkan projek berimpak tinggi yang sejajar dengan strategi pelaburan AI negara, dengan tumpuan kepada syarikat yang mempunyai keupayaan dalam lapisan asas, pengupaya dan aplikasi AI.

Inisiatif ini membina momentum daripada program-program terdahulu, dengan fokus kepada pengkomersialan produk AI, aplikasi AI merentasi sektor, pembangunan bakat dan pemindahan pengetahuan. 

Ia diselaraskan secara strategik dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan, sekali gus mengukuhkan aspirasi Malaysia untuk menjadi kuasa besar AI serantau.

Syarikat yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga 70 peratus daripada jumlah kos projek, tertakluk kepada had maksimum RM2 juta, bagi projek yang berlangsung selama maksimum satu tahun.

Permohonan dibuka sehingga 18 Julai dan pemohon yang berjaya akan diumumkan semasa Ekspo Digital Malaysia (MDX) pada September 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×