Bau pelarut dikesan di Sungai Rinching - Utusan Malaysia

Bau pelarut dikesan di Sungai Rinching

HEE Loy Sian bersama pegawai pemantau air Selangor meninjau LRA Sungai Semenyih yang henti tugas sekali lagi pada petang semalam selepas pencemaran bau dikesan pada sumber air di situ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pensampelan ujian mendapati bau seakan pelarut dikesan pada aliran air berhampiran sebuah kilang di sekitar Sungai Rinching, iaitu 16 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, siasatan lanjut dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di kawasan disyaki menyebabkan insiden pencemaran bau iaitu aliran air di sump berkenaan.

“Pensampelan di sump (tempat mengalirnya bahan buangan) itu mendapati wujud bau seakan pelarut yang turut dikesan di aliran pertemuan ke Sungai Rinching.

“Pada masa sama, LUAS melakukan pensampelan di kawasan muka sauk Jenderam Hilir bagi tujuan analisa Jabatan Kimia Malaysia (JKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, inisiatif pencegahan dipertingkat dengan meletakkan 14 beg Serbuk Karbon Teraktif di dua lokasi aliran sump berhampiran premis itu bagi mengawal sebarang pencemaran ke Sungai Semenyih.

“Penemuan terkini pada jarak 300 meter dari premis itu juga terdapat aliran air di sump yang mempunyai bau sama sebelum pelepasan ke Sungai Rinching.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa masih diteruskan LUAS bersama agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.

Jelas Loy Sian, pemantauan statik dan pensampelan turut dilakukan di dua kawasan iaitu Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir.

“Pensampelan itu dijalankan setiap satu jam dan menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal serta bacaan bau adalah sifar ton,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menjalankan pemantauan kualiti udara di takat pelepasan akhir premis yang disyaki.

“Beberapa parameter Sebatian Organik Meruap (VOC) dikesan yang baunya seakan analisa dikeluarkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) pada insiden 31 Ogos lalu.

“Susulan itu, JAS mengeluarkan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kepada premis itu mengikut Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS),” katanya.

Jelas Loy Sian, LUAS menerima laporan daripada Air Selangor mengenai insiden pencemaran bau sehingga 3 ton yang dikesan di Stesen Pemantauan Pusat (RMS) Kampung Sungai Buah, Dengkil pukul 4 petang semalam.

“Pemantauan Ops Sumber Air Negeri Selangor mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

“LUAS mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan menyeluruh ke kawasan terlibat di hulu muka sauk yang berisiko menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih,” katanya.

Tambah beliau, tindakan tegas akan dikenakan kepada pelaku mengikut Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020.

“Sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta,” katanya.

Kata Loy Sian, LUAS dan Air Selangor turut menyelaraskan pelepasan air Empangan Semenyih sebanyak 227 juta liter sehari (JLH) bagi meningkatkan faktor pencairan sungai.

Semalam, LRA Sungai Semenyih terpaksa henti tugas sekali lagi pada pukul 5.15 petang apabila pencemaran bau sehingga 2 ton dikesan di RMS Kampung Sungai Buah dan Sungai Semenyih.

Henti tugas berkenaan menyebabkan gangguan di 172 kawasan dalam daerah Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Kuala Langat (20) dan Putrajaya (23).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut memaklumkan sebuah kilang di kawasan perindustrian di Jenderam Hilir, Sepang disyaki menjadi punca pencemaran berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya