PUTRAJAYA: Pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih akan mengikuti latihan khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kripto dan peralihan tenaga bermula bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak industri teknologi baharu di peringkat global.
Katanya, kira-kira 50 hingga 100 pelajar TVET terpilih di setiap institusi akan diberikan peluang mengikuti latihan awal sebelum ditempatkan di beberapa pusat penyelidikan dan institusi berkaitan.
“Semua badan latihan pendidikan kerajaan diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar memberi peluang latihan awal kepada pelajar terpilih untuk menguasai bidang benar-benar baharu seperti AI, kripto dan peralihan tenaga.
“Mereka akan ditempatkan sama ada di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) atau mana-mana badan pendidikan yang diselaraskan di bawah Majlis Sains Negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut mampu meningkatkan nilai graduan TVET sehingga setanding atau melebihi pemegang ijazah sarjana muda.
“Lulusan TVET terpilih ini dengan sendirinya terangkat melebihi daripada ijazah sarjana muda. Maka sewajarnya upah dan gaji mereka harus dipastikan lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










