‘IMPIAN saya adalah untuk melihat Beyonce memakai topi hasil tangan saya.’
Itulah harapan yang disimpan Holly Johnson, seorang pembuat topi felt dari Britain yang berjaya mengembangkan perniagaan kecilnya sehingga menembusi pasaran antarabangsa hanya dalam tempoh beberapa tahun.
Bermula dengan menghasilkan topi buatan tangan untuk rakan-rakan sebelum pandemik Covid-19, wanita berusia 30 tahun itu kini menerima tempahan daripada pelbagai negara termasuk Denmark, Norway, Iceland, Jerman, Itali, Turkiye dan Maghribi.
Rekaannya yang unik, daripada topi berbentuk cendawan hingga menyerupai tengkorak manusia, turut menarik minat pelanggan daripada pelbagai latar belakang, termasuk ahli silap mata di Las Vegas dan untuk anjing yang muncul dalam filem.
“Perasaan itu sangat istimewa apabila menghantar topi-topi tersebut dan mengetahui ia akan dipakai dalam budaya yang berbeza di tempat jauh di seluruh dunia.
“Saya masih terkejut setiap kali membuka laman web saya dan melihat tempahan datang dari Denmark, Norway, Iceland, Jerman, Itali. Malah ada juga Turkiye dan Maghribi.
“Saya sering tertanya-tanya siapakah yang memakainya dan apa yang sedang mereka lakukan ketika memakai topi itu,” katanya.
Video di internet memainkan peranan penting dalam membantu Holly mempelajari seni pembuatan topi secara sendiri.
Menurutnya, dia tidak pernah merancang untuk menjadi pembuat topi kerana sejak kecil lebih gemar berdandan serta menghasilkan kostum dan aksesori kreatif.
“Semuanya bermula apabila saya membuat topi besar daripada kadbod untuk seorang rakan sempena sambutan hari jadinya.
“Kemudian saya mula bereksperimen dengan topi yang diperbuat daripada buih, memotong dan mencantumkannya menggunakan gam panas, tetapi hasilnya agak tidak kemas.

“Suatu hari, saya mencari maklumat mengenainya di Google. Sebelum itu saya langsung tidak tahu tentang dunia pembuatan topi dan tidak pernah mendengarnya. Saya hanya menonton banyak video di internet,” katanya.
KERJAYA SEPENUH MASA
Selepas melalui pelbagai proses dan membangunkan tekniknya sendiri, Holly berkata, minatnya terhadap bidang itu semakin mendalam apabila dia diarahkan bercuti kerja semasa pandemik Covid-19.
Sejak itu, dia menghabiskan masa setiap hari untuk menghasilkan topi, sekali gus mengasah kemahirannya sehingga berjaya menjadikan minat tersebut sebagai kerjaya sepenuh masa.
Perniagaan yang dikenali sebagai HoJo Hattery itu bermula di bilik kosong rumah yang dikongsi Holly bersama pasangannya, sebelum berkembang sehingga mempunyai premis sendiri di Newcastle-under-Lyme, Staffordshire.
Holly mengakui proses pembuatan topi pada peringkat awal sering menyebabkan seluruh rumah dipenuhi bau bahan-bahan yang digunakan.
Menurutnya, pemilihan Newcastle-under-Lyme sebagai lokasi perniagaannya juga mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Terdapat warisan pembuatan topi yang sangat kuat di sini. Newcastle-under-Lyme terkenal dengan industri ini pada abad ke-17 dan ke-18,” katanya.
Antara tempahan istimewa yang diterimanya baru-baru ini ialah menghasilkan trofi untuk Anugerah Muzik Staffordshire dan Cheshire pada Januari lalu.
Trofi tersebut berbentuk topi silinder mini yang diinspirasikan daripada topi ikonik yang sering dipakai oleh pemain gitar kumpulan rock terkenal, Slash daripada Guns N’ Roses, yang berasal dari Stoke-on-Trent.
“Kami mahukan versi kecil topi itu sebagai penghargaan kepada industri muzik di Stoke,” katanya.
Holly berkata, setiap trofi dihasilkan menggunakan teknik yang sama seperti topi biasa buatannya, termasuk jahitan halus, lapik bahagian dalam, jalur peluh dan pelbagai perincian hiasan lain.
“Setiap langkah dalam proses pembuatannya dilakukan dengan teliti, sama seperti menghasilkan topi bersaiz sebenar,” katanya.
IMPIAN BESAR
Dengan ribuan pengikut di media sosial termasuk 9,000 di Instagram, sasaran Holly kini bersifat global dan membuka peluang untuk tempahan khas yang lebih unik.
Holly berkata, antara tempahan paling menarik yang pernah diterimanya datang daripada seorang ahli silap mata di Las Vegas.
“Seorang lelaki dari Las Vegas, seorang ahli silap mata, mahukan topi fedora berbentuk mahkota tengkorak, dan di dalamnya ada gesper kecil supaya dia boleh memasang peralatan untuk melakukan trik silap mata,” katanya.
Dia turut pernah menghasilkan topi bicorn untuk seekor anjing yang muncul dalam filem baharu Napoleon.
Pasaran Amerika Syarikat (AS) kini menjadi penyumbang terbesar kepada jualannya, merangkumi hampir tiga perempat daripada keseluruhan tempahan.










