RM50 juta dana PTPK disalur untuk TVET 2.0 - Anwar - Utusan Malaysia

RM50 juta dana PTPK disalur untuk TVET 2.0 – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) digunakan bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dengan syarat majikan dan pihak industri bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam menjayakan agenda berkenaan.

Katanya, kerjasama sektor industri amat penting bagi memastikan latihan yang diberikan selari dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan khususnya dalam bidang teknologi baharu.

“Saya tegaskan semula bahawa kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi PTPK digunakan untuk TVET 2.0.

“Bagaimanapun, syaratnya ialah majikan dan pihak industri perlu bekerjasama dengan kerajaan, khususnya melalui Majlis TVET Negara supaya wujud penyelarasan yang lebih berkesan dalam menjayakan agenda ini,” katanya.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk memperluas program latihan, pendedahan industri serta meningkatkan kualiti pembangunan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja negara memenuhi kehendak pasaran semasa dan masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi Belanjawan 2026, PTPK diperuntukkan sebanyak RM650 juta bagi menyokong agenda pembangunan kemahiran dan modal insan negara.

Perdana Menteri berkata, perubahan landskap teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kripto dan teknologi digital lain menuntut sistem pendidikan negara melakukan anjakan lebih pantas bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan.

Beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada bidang-bidang baharu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan pendidikan serta latihan yang bersifat konvensional.

Katanya, ruang turut dibuka kepada institusi tahfiz dan sektor-sektor yang sebelum ini kurang diberikan perhatian supaya lebih ramai anak muda dapat memanfaatkan peluang yang diwujudkan melalui TVET.

“Jika dahulu ramai beranggapan kejayaan hanya boleh dicapai menerusi kolej dan universiti, keadaan itu sudah berubah.

“TVET kini menawarkan laluan kerjaya yang luas dan berpotensi tinggi seiring perkembangan teknologi yang membuka pelbagai bidang pekerjaan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN