PETALING JAYA: Kejadian tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah teres di Jalan Kemensah Heights, Ampang, Selangor, semalam dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor sehingga menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.
“Kesemua penduduk dipindahkan ke dewan orang ramai.
“Kerja-kerja pencerunan dilaksanakan pagi ini bersama pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE