PETALING JAYA: Gara-gara sebuah akaun palsu di Facebook, pelakon cantik, Raysha Rizrose teruk dikecam dan diganggu individu tidak dikenali dalam laman sosial.
Bukan sahaja menggunakan gambar pelakon tersebut, malah penyamar di sebalik akaun palsu Raysha Rizrose itu turut memuat naik kandungan-kandungan berunsur lucah secara terbuka.
Raysha ketika dihubungi berkata, dia tidak menyedari kewujudan akaun berkenaan sehinggalah menerima mesej makian dan tidak senonoh di Instagram.
“Saya terkejut, beberapa hari lepas ramai yang mesej di Instagram, hantar gambar yang bukan-bukan. Ada yang maki saya. Mereka tanya kenapa saya muat naik gambar yang bukan-bukan.
“Saya terus periksa. Rupanya ada akaun palsu, yang guna nama saya dan muat naik kandungan-kandungan mengarut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelakon drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin itu bagaimanapun telah membuat pemberitahuan di Instagram tentang kewujudan akaun palsu itu namun masih menerima respon negatif.
“Saya dah umum di Instagram dan nyatakan itu bukan akaun saya.
“Tetapi sampai sekarang saya masih terima mesej bukan-bukan daripada individu tidak dikenali,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia memberitahu belum merancang untuk membuat laporan polis namun akan mempertimbangkan tindakan itu sekiranya keadaan menjadi semakin parah.
“Saya tak tahu nak buat apa. Buat masa sekarang saya belum fikir (lapor polis) lagi. Tetapi jika perkara ini menjadi semakin melampau dan mengarut saya akan pertimbangkan untuk lapor polis,” katanya. – UTUSAN










