Sebanyak 62 premis diperiksa, isu harga ayam naik

62 premis diperiksa, isu harga ayam naik

SEORANG penguat kuasa KPDNHEP Selangor ketika menjalankan pemeriksaan harga ayam di salah sebuah pasar di sekitar Shah Alam dan Klang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 62 premis terdiri daripada pembekal dan peruncit diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di sekitar bandar raya ini dalam tempoh tiga hari bermula Isnin lalu susulan isu kenaikan mendadak harga ayam di pasaran. 

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua peniaga ayam itu memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula harga jualan.

Katanya, KPDNHEP sentiasa mengambil maklum situasi kenaikan harga ayam di negeri ini termasuk pasar awam dan pasar raya.

“Sebanyak 56 premis atau 90.32 peratus bersetuju membuat perubahan harga (penurunan) secara serta merta. Manakala, enam lagi premis bersetuju secara bersyarat menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

“Kita konsisten melaksanakan pemantauan harga ayam secara harian di setiap rantaian pengedaran mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. Ia bagi memastikan tiada manipulasi harga atau untung dalam kalangan peniaga melalui mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan sekaligus tidak membebankan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhamad Zikril, situasi pergerakan harga yang menunjukkan peningkatan merupakan asas kepada sesuatu tindakan pemeriksaan. 

“Justeru, tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) boleh dilakukan kepada pengeluar, pemborong dan peruncit ayam untuk mendapatkan maklumat terperinci yang menyumbang kepada kenaikan harga.

“Sehingga semalam, dua notis dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Tegas beliau, peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga ayam tanpa mematuhi perundangan Antipencatutan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (1) AKHAP 2011.

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat manakala maksimum RM100,000 bagi individu. Pesalah juga boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali (denda),” katanya.

Tambah Muhamad Zikril, pemeriksaan turut memfokuskan aspek pematuhan menyelenggara dan menyimpan rekod perniagaan ayam sepanjang beroperasi.    

“Pematuhan di bawah Seksyen 53(A) amat penting bagi keperluan peniaga membuktikan kos operasi perniagaan dalam bentuk dokumen. KPDNHEP turut mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga ayam yang diperiksa untuk mendapatkan maklumat di bawah AKHAP 2011,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya sentiasa berhemah ketika menjalankan perniagaan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN