PETALING JAYA: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda hampir seluruh negara, petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), amaran ribut petir itu melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan serta beberapa kawasan di Pahang termasuk Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Maran.
Selain itu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) turut dijangka dilanda hujan lebat pada sebelah petang.
“Di selatan tanah air, Melaka dan beberapa daerah di Johor iaitu Tangkak, Muar dan Batu Pahat juga diramal mengalami hujan lebat.
“Bagi Sabah dan Sarawak, antara kawasan terlibat termasuk Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang serta kawasan pedalaman Sabah seperti Nabawan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MetMalaysia, amaran tersebut adalah sah berkuat kuasa sehingga pukul 9 malam ini.
“Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan berlakunya hujan lebat melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Ia merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya.-UTUSAN










