Isu hina Sultan Selangor: Enam NGO Sepang buat laporan polis - Utusan Malaysia

Isu hina Sultan Selangor: Enam NGO Sepang buat laporan polis

Antara wakil enam NGO dari daerah hadir membuat laporan di IPD Sepang bagi mendesak tindakan tegas terhadap individu yang menghina Sultan Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini mendesak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan NGO berkenaan, Al Rasyid Ab Rani berkata, pihaknya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini bagi membuat laporan terhadap individu berkenaan.

Beliau berkata, Sultan bukan sahaja lambang perpaduan negeri, malah berperanan sebagai ketua agama Islam yang wajib dihormati dan dipertahankan.

“Dalam Rukun Negara jelas menyatakan kesetiaan kepada raja dan negara. Malah lagu negeri Selangor turut menekankan penghormatan kepada Sultan.

“Peranan Sultan amat besar termasuk dalam isu membabitkan kepentingan agama dan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini hari ini.

Enam NGO berkenaan termasuk Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PEKIMA), Warisan Empayar Dengkil, Persatuan Silat Tempur Langkah Timah, Komuniti Belia Taman Anggerik dan Amal Rief Malaysia (ARIF) Sepang.

Sementara itu, Al Rasyid turut merujuk titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi yang disifatkan mempunyai lebih banyak kesan negatif berbanding manfaat kepada masyarakat setempat.

Katanya, pihaknya menyokong pendirian dan titah Sultan Selangor serta menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan ketegangan kaum atau agama.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PEKIDA Sepang, Sabudin Jantan berkata, setakat ini enam laporan dibuat oleh gabungan NGO di daerah ini dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak laporan akan dibuat selepas ini.

“Jika perkara ini tidak dibendung, ia boleh menjejaskan keharmonian negara. Institusi kesultanan perlu dipelihara supaya undang-undang terus dihormati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN