SUKMA 2026 tidak dibatalkan, berlangsung secara berhemah

SUKMA 2026 tidak dibatalkan, berlangsung secara berhemah

MENTERI Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor disahkan akan diteruskan secara berhemah selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Temasya dwitahunan itu dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan pendekatan penjimatan dan perbelanjaan lebih terkawal demi memastikan kelangsungan pembangunan sukan negara.

Keputusan tersebut dicapai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Selangor pada 23 April lalu bagi membincangkan hala tuju penganjuran temasya berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan meneruskan SUKMA itu mengambil kira kepentingan atlet muda sebagai pelapis masa depan negara.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh YAB Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi.

“Tambahan pula SUKMA 2026 ini adalah antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” katanya menerusi kenyataan Kementerian Belia dan Sukan, hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan kerjasama penuh bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan efektif.

“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Tuanku yang dijadualkan pada Rabu, 29 April, bersama-sama Exco Belia, Sukan dan
Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran SUKMA 2026,” kata Taufiq.

Justeru, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 30 April ini bakal menjadi platform penting kepada Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk memperincikan status semasa persiapan, khususnya pelaksanaan langkah penjimatan yang selari dengan titah perkenan Sultan Selangor.

“Sebarang maklumat tambahan berkenaan SUKMA Selangor 2026 akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA diadakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN