SHAH ALAM: UMNO Bahagian Shah Alam mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting dan menyebarkan imej penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, perbuatan jijik itu bukan sekadar menghina peribadi baginda, malah adalah penghinaan terbuka terhadap institusi kesultanan Selangor, lambang kedaulatan negeri, payung rakyat serta tonggak keharmonian yang wajib dipertahankan.
“Tindakan biadab seperti ini jelas menunjukkan sikap melampau, tidak bertamadun dan langsung tidak menghormati undang-undang, adat serta tatasusila rakyat Malaysia.
“UMNO Shah Alam menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berani memperlekeh, menghina atau mencabar martabat institusi diraja mesti dikenakan tindakan paling tegas tanpa sebarang kompromi. Tiada ruang toleransi terhadap penghinaan seumpama ini,”katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 9 di sini hari ini.
Laporan tersebut dibuat agar polis menyiasat penyebaran gambar di media sosial yang disunting secara melampau dan biadab dengan memaparkan wajah baginda yang disamakan dengan wajah babi.
Azhari berkata, pihaknya berharap dalang sebenar dapat dikenal pasti, pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Jelasnya lagi, pihaknya turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta semua agensi penguatkuasaan bertindak pantas dan tegas tanpa sebarang kelewatan.
” Jangan sesekali ada pihak menyangka penghinaan terhadap Sultan Selangor boleh dipandang ringan atau dilepaskan begitu sahaja. Rakyat Selangor menjunjung tinggi institusi diraja dan tidak akan berdiam diri,” katanya. – UTUSAN










