BERA: Seramai 626,141 orang atau 53.3 peratus penduduk dewasa di negeri ini telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, sehingga semalam, seramai 811,588 atau 69 peratus penduduk negeri ini sudah menerima dos pertama suntikan vaksin berkenaan.
Jelasnya, usaha bersepadu dan berfokus sedang digerakkan bagi memastikan negeri ini mencapai imuniti kelompok pada pertengahan bulan depan.
“Statistik menunjukkan seramai 364,242 orang atau 30.1 peratus belum menerima suntikan dan 216,576 orang lagi belum berdaftar dengan MySejahtera.
“Kita agak kesal kerana masih ramai penduduk belum berdaftar dengan MySejahtera dengan pelbagai alasan sekali gus menyukarkan pemberian janji temu.
“Bagaimanapun saya percaya kesedaran orang ramai mendapat vaksinasi berikutan semakin banyak sektor ekonomi dibuka yang memerlukan orang ramai lengkap dua dos,” katanya kepada pemberita selepas memantau pelaksanaan walk-in vaksinasi bersasar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
Norolazali berkata, kerajaan negeri menyasarkan 1.2 juta penduduknya menerima sekurang-kurang satu dos vaksin Covid-19 menjelang 21 September ini.
Tegasnya, sasaran itu dapat dicapai jika bekalan vaksin diterima seperti mana perancangan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Beliau berkata, penambahan enam juta dos vaksin yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu diharap turut membabitkan negeri ini.
Menurutnya, tambahan dos vaksin diperlukan bagi membolehkan program vaksinasi dapat digerakkan lebih lancar di kawasan kampung terpencil dan perkampungan Orang Asli. – UTUSAN ONLINE