Jika sibuk berlakon drama bersiri, siapa mahu masak untuk anak? - Diana Danielle - Utusan Malaysia

Jika sibuk berlakon drama bersiri, siapa mahu masak untuk anak? – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon Diana Danielle mengakui terpaksa memperlahankan penglibatan dalam naskhah drama bersiri bagi memastikan mempunyai masa berkualiti bersama anak-anak, termasuk menyediakan masakan buat mereka.

Diana atau  Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata, dia berat hati untuk terlibat dalam drama bersiri yang menuntut komitmen masa panjang berbanding filem, selain bimbang anak-anak berasa terabai.

“Jika berlakon drama bersiri, saya perlu berada di set penggambaran siang dan malam. Jadi, siapa yang akan memasak untuk anak-anak? Mereka gemar air tangan saya.

“Selagi saya mempunyai pilihan, saya lebih cenderung untuk mengurangkan lakonan dan berada di rumah supaya dapat memantau keadaan anak-anak.

“Orang sering beranggapan apabila anak sudah meningkat remaja, mereka tidak lagi memerlukan perhatian ibu bapa. Hakikatnya, pada usia itu mereka lebih memerlukan bimbingan, sokongan dan semangat,” katanya.

Diana ditemui pada majlis rumah terbuka serta sidang media filem Terbang di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon filem Imaginur tersebut menegaskan, dia masih aktif dalam bidang perfileman, namun menetapkan syarat peribadi agar jadual kerja tidak menjejaskan masa bersama keluarga.

Menurutnya, perbincangan dengan pihak produksi menjadi keutamaan dalam menyusun jadual kerja supaya setiap projek yang disertai memberi ruang untuknya kembali mengeratkan hubungan dengan anak-anak.

“Saya akan berehat seketika selepas selesai penggambaran sesebuah filem, kemudian baru menerima projek baharu sebelum kembali berehat. Perlu ada masa untuk merapatkan hubungan dengan anak-anak.

“Saya bersyukur kerana mempunyai pilihan ini, walaupun sedar tidak semua orang berpeluang melakukannya. Namun, selagi mampu, saya akan terus berpegang kepada prinsip ini,” ujarnya.

Tambah Diana, dia turut menerapkan komunikasi sihat dalam keluarga dengan memberi ruang kepada anak-anak meluahkan perasaan, termasuk rasa tidak puas hati sekiranya dia terlalu sibuk bekerja.

“Bagi saya, penting untuk anak-anak menyuarakan jangkaan mereka terhadap ibu bapa. Selagi komunikasi berjalan dengan baik, walaupun kita tidak mampu memenuhi semua kehendak mereka, sekurang-kurangnya kita berusaha.

“Kebiasaannya, selepas selesai sesuatu projek, saya akan membawa mereka bercuti bagi meluangkan masa bersama,” katanya.

Terdahulu, Diana disahkan bercerai kali kedua dengan pelakon Farid Kamil pada 24 Mac tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 13, dan Nur Aurora, 11. — UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN