KOTA BHARU: Perjuangan lebih sedekad keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman menuntut keadilan buat bekas pelajar mahaad tahfiz di Kok Lanas yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung, memasuki fasa baharu.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan pihak defendan untuk membatalkan saman dan tuntutan yang difailkan keluarga pelajar terbabit.
Keputusan itu dibuat Hakim Mohd. Rosli Yusoff selepas mendapati kes berkenaan tidak boleh ditamatkan secara ringkas, sebaliknya wajar diteruskan ke perbicaraan penuh.
Peguam yang mewakili pihak plaintif, Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin berkata, mahkamah memutuskan bahawa kes berkenaan bukanlah satu kes yang jelas dan nyata untuk dibatalkan secara ringkas, sekali gus membolehkan ia diteruskan ke perbicaraan penuh.
Menurutnya, tuntutan plaintif-plaintif adalah berkaitan dengan ketinggalan atau kecuaian defendan-defendan dalam menjalankan siasatan terhadap insiden kematian anak plaintif.
“Mahkamah turut mengambil kira bahawa siasatan kes berkenaan masih berjalan beberapa tahun selepas kejadian, termasuk selepas prosiding inkues bermula pada Mac 2016 serta perkembangan siasatan sehingga tahun 2018.
“Sehubungan itu, mahkamah berpendapat adalah tidak munasabah untuk menganggap tuntutan plaintif telah luput hanya berdasarkan tarikh kejadian pada Disember 2013,” katanya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, di Tunjong di sini, hari ini.
Tengku Shazuan berkata, permohonan defendan untuk membatalkan kes tersebut ditolak dengan kos ditetapkan pada akhir prosiding.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 18 Mei ini manakala perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 April 2027. – UTUSAN










