306 bot asing jadi 'lubuk rezeki' nelayan tempatan - Utusan Malaysia

306 bot asing jadi ‘lubuk rezeki’ nelayan tempatan

KAMARUSZAMAN Abu Hassan (depan) membunyikan hon sebagai isyarat untuk menenggelamkan tiga bot nelayan asing berhampiran Pulau Susu Dara, Besut, Terengganu hari ini. - UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Sebanyak 306 bot nelayan Vietnam bernilai RM459 juta yang dilucut hak telah dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di dasar laut sekitar perairan Kelantan dan Terengganu sejak 2007.

Bot-bot nelayan asing berkenaan dimanfaatkan sebagai tukun tiruan yang kemudiannya muncul sebagai habitat baharu kepada hidupan laut, sekali gus  menjadi ‘lubuk rezeki’ nelayan tempatan serta pemancing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, kerja-kerja menenggelamkan bot itu hanya dibuat melibatkan kes didapati bersalah dan bot yang telah dilucut hak oleh mahkamah.

“Hari ini, Maritim Malaysia melupuskan tiga lagi bot nelayan asing bernilai RM4.5 juta di Pulau Susu Dara bagi mengurangkan kesesakan di Jeti Penahanan Vesel Maritim Malaysia Pahang.

“Kerja-kerja menenggelamkan bot mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) untuk memastikan lokasi sesuai dan tidak menjejaskan biodiversiti marin selain memberi manfaat kepada nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di atas Kapal Maritim Tok Bali yang membawa petugas media belayar di sekitar Pulau Susu Dara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Maritim Pahang, Datuk Amran Daud, Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman serta Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli.

Mengulas lanjut, Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia Pahang bakal menenggelamkan tiga lagi bot asing untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Tioman, Pahang selepas pelucutan hak diputuskan mahkamah.

“Usaha ini adalah antara sumbangan Maritim Malaysia dalam membantu proses pembiakan ikan dan hidupan laut di perairan negara.

“Diharapkan lokasi ini bakal menjadi tumpuan nelayan pantai dan kaki pancing untuk mencari rezeki selain menjadi tempat penyelam dan pencinta dasar laut menjalankan aktiviti,” katanya.

Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia sentiasa berusaha memastikan perairan negara selamat untuk komuniti maritim, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya