Seramai 300 orang guru di Selangor belum divaksin

300 guru di Selangor belum divaksin

ANISMAH M. NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kira-kira 300 guru di Selangor atau 0.7 peratus daripada jumlah 61,000 orang dalam profesyen itu masih lagi belum menerima vaksin Covid-19 walaupun sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

Oleh demikian Pengarah Pendidikan Negeri (PPN), Anismah M. Noh, menyeru guru berkenaan supaya mendaftar dalam aplikasi MySejahtera dan mendapatkan suntikan dengan segera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat.

“Oleh kerana sekolah akan dibuka pada 4 Oktober ini, saya menyeru guru-guru yang belum menerima vaksin supaya mendaftar segera dan boleh walk-in ke pusat vaksinasi terdekat. Semoga guru dapat kembali mengajar secara bersemuka dengan murid,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Prestij Pembelajaran, di sini hari ini.

Beliau menambah, keengganan guru terbabit berbuat demikian menyebabkan mereka tidak boleh mengajar murid di sekolah secara bersemuka walaupun perlu hadir seperti biasa apabila sekolah buka pada 4 Oktober ini.

“Guru yang belum divaksin, boleh datang ke sekolah seperti biasa tetapi tidak boleh mengajar secara bersemuka, sebaliknya perlu mengajar secara dalam talian. Kita tidak mahu pelajar atau guru berkenaan terdedah dengan jangkitan,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Anismah memberitahu pihaknya turut mewujudkan pasukan khas bagi menasihati guru terlibat supaya mengambil suntikan vaksin termasuk menyediakan khidmat kaunseling.

“Kita ada pasukan khas untuk menasihati, membimbing serta ada kaunselor untuk mendekati mereka. Tetapi kita tidak paksa, sebaliknya hanya memberikan nasihat kerana bila kita menjaga diri, secara tak langsung akan melindungi orang lain juga.

“Pelbagai alasan diberikan untuk tidak vaksin, sebab mereka mempunyai pelbagai pemikiran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya