18 samseng jalanan ditahan polis - Utusan Malaysia

18 samseng jalanan ditahan polis

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan 18 individu atas pelbagai kesalahan dan menyita 22 motosikal dalam Operasi (Op) Samseng Jalanan dan Op Motosikal di beberapa lokasi sekitar ibu negara, semalam.

Operasi bermula pukul 9 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar pusat bandar, Jalan Tun Razak , Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Bangsar dan Lebuh Raya DUKE.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu di Jalan Pahang di sini. 

Katanya, pihaknya menemukan dadah seberat 1.7 gram pada mereka dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

“Kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 12(2)(e) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan di bawah 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

“Kita turut menahan seramai 11 lelaki berusia antara 23 hingga 66 tahun kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Mohd. Sarifudin berkata, lima lelaki yang menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘zig zag, ‘superman’, roket serta bersaing sesama sendiri turut ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di DUKE dan Jalan Bangsar.

“Kesemua tangkapan berusia 14 hingga 21 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebanyak 571 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 22 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai ekzos.

Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN