Wanita rugi lebih RM1 juta gara-gara 'ayat-ayat cinta' - Utusan Malaysia

Wanita rugi lebih RM1 juta gara-gara ‘ayat-ayat cinta’

LIMA suspek termasuk seorang wanita tempatan ditahan selepas terlibat dalam kegiatan penipuan Love Scam di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas terjerat ayat-ayat cinta oleh sindiket penipuan ‘Love Scam’.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu akhirnya kecundang susulan penahanan lima individu termasuk dua wanita warga asing dalam tiga siri serbuan dilakukan di Cheras dan Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, serbuan pada pukul 6 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama Bahagian Risikan JSJK Bukit Aman.

Katanya, lima individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warganegara asing serta seorang wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

Jelasnya, kesemua tangkapan disyaki terlibat dalam kes penipuan ‘Love Scam’ (parcel) yang berperanan memperdayakan mangsa.

“Sindiket ini memperdaya mangsa melalui medium media sosial dengan ayat-ayat cinta sehingga mangsa terpedaya dan memasukkan wang ke akaun seperti yang diarahkan oleh suspek.

“Dengan tumpasnya sindiket penipuan itu, polis telah berjaya menyelesaikan kes melibatkan mangsa seorang wanita tempatan dengan kerugian lebih RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas enam komputer riba, 16 telefon bimbit pelbagai jenama, satu model internet dan tiga kad ATM pelbagai bank yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan penipuan.

Menurut Mohd. Padzli, suspek warganegara tempatan ditahan reman selama empat hari manakala empat warganegara asing direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih bijak dan berhati-hati di dalam melayari media sosial agar tidak mudah terpedaya dengan ayat-ayat cinta dari orang yang baru dikenali.

“Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak terjerat sehingga sanggup menyerahkan harta benda seperti wang dan butiran diri kepada individu yang dikenali melalui alam maya tanpa bertemu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah penipuan boleh menghubungi terus IPD JBS di talian 07-2182323,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 (Tipu) Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya