KUALA LUMPUR: Pelakon, Kodi Rasheed sanggup buat apa sahaja dan tidak kisah untuk mengubah bentuk badannya semata-mata mahu memastikan watak yang dilakonkannya menjadi.
Kodi atau Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed, 36, berkata, demi memenuhi permintaan pihak produksi, dia rela menurunkan berat badan secara mendadak dan memotong rambutnya sehingga botak.
“Saya sanggup lakukan apa sahaja demi karakter yang diberikan. Janji saya gembira mahu buat, ceritanya bagus dan ia berbaloi untuk saya lakukan.
“Pihak produksi memang minta saya kurus untuk karakter itu, jadi saya ikutkan sahaja. Mula-mula saya berjaya turunkan 10 hingga 12 kg, sebelum berat saya turun lagi sehingga 22 kg,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kodi berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam majlis pelancaran dan pengumuman menyempurnakan nama filem The Real Mamu: Maruah dan Darjat di Royal Chulan Kuala Lumpur, pada Isnin.
Bercerita lanjut tentang cara dia menurunkan berat badan dalam masa yang singkat, Kodi mengakui terpaksa melalui fasa diet yang sangat ketat selama tiga bulan.
Dalam tempoh tersebut, dia langsung tidak menyentuh makanan atau minuman yang mengandungi gula dan tepung demi mendapatkan hasil yang dimahukan.
“Saya memang lalui diet yang teruk dengan memotong terus pengambilan gula dan tepung selama tiga bulan. Sepanjang tempoh itu, hari-hari saya hanya makan ikan bakar sahaja.
“Dah lima bulan saya langsung tak minum air manis sebab sekarang rasa macam pelik pula. Tapi kalau setakat nak makan kek cawan atau makanan manis sikit-sikit, itu tiada masalah,” ujarnya.
Selain isu berat badan, Kodi juga sebelum ini pernah mencukur habis rambutnya sehingga botak selepas diminta oleh pengarah filem Malaikat Malam.
Untuk rekod, Kodi Rasheed sebelum ini pernah membintangi filem komedi Biko pada tahun 2022, selain penglibatannya dalam beberapa naskhah filem indie dan pendek tempatan yang mula menaikkan namanya dalam industri seni.










