GENEVA: Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya menarik balik sekatan ketat yang dikenakan ke atas Cuba tahun ini, dengan memberi amaran langkah tersebut menyebabkan penderitaan meluas dan mengancam nyawa.
Walaupun Cuba berada di bawah sekatan perdagangan AS sejak 1962, Presiden Donald Trump didakwa meningkatkan tekanan secara drastik sejak beberapa bulan lalu. Ia termasuk memutuskan bekalan bahan api dan mengancam mengambil alih pulau itu.
“Sekatan bahan api yang dikenakan sejak awal 2026 dan pengetatan sekatan luar wilayah baru-baru ini, secara keseluruhannya memberi kesan langsung kepada rakyat Cuba, khususnya golongan paling rentan.
“Kanak-kanak sedang meninggal dunia kerana doktor tidak mempunyai akses kepada bekalan dan ubat-ubatan penting. Ini tidak boleh diterima. Sekatan ini mesti segera ditarik balik,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Volker Turk, dalam satu kenyataan.
Trump berulang kali menyatakan Cuba berkemungkinan menjadi negara seterusnya yang akan tumbang, susulan penggulingan pemimpin sosialis Venezuela, Nicholas Maduro, pada Januari serta kempen AS terhadap Iran.
Pegawai AS turut memfailkan dakwaan terhadap bekas Presiden Cuba, Raul Castro, dalam kes yang bermula sejak 1996, sekali gus mencetuskan spekulasi Trump akan cuba menggulingkan kerajaan komunis tersebut.
Turk menegaskan, sekatan minyak menyebabkan Cuba mengalami gangguan bekalan elektrik setiap hari yang kadangkala melebihi 20 jam.
Katanya, sekatan tambahan yang diperkenalkan bulan lalu, pedagang, memburukkan lagi keadaan. – AFP










