Kedudukan ahli Bersatu dalam kerajaan pimpinan Pas tidak terjejas

Kedudukan ahli Bersatu dalam kerajaan pimpinan Pas tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan pimpinan Pas tidak akan terjejas buat masa ini meskipun hubungan politik rasmi antara kedua-dua parti telah berakhir.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu selaras dengan pendirian Pas yang mengutamakan kestabilan politik serta menghormati hubungan yang telah terjalin di peringkat individu.

Katanya, kedudukan individu berkenaan akan terus dipertahankan selagi mereka memberikan sokongan dan bekerjasama dengan Pas dalam pentadbiran kerajaan.

“Hubungan peringkat parti diberhentikan. Di peringkat individu dan ahli berjalan seperti biasa, malah terus dihormati. Mengambil kira dan memahami masalah dalaman dan transisi yang dihadapi Bersatu, Pas kekal dengan sikap terbuka dan mesra dengan semua ahli Bersatu.

“Justeru buat masa ini kedudukan individu dalam kerajaan pimpinan Pas tidak terjejas selagi mereka menyokong dan bekerjasama dengan Pas. Kestabilan politik kekal diutamakan. Masa perlu diberikan kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing dan Pas tidak akan mencampurinya,” katanya di Facebook hari ini.

Annuar turut berpandangan bahawa perkembangan semasa dalam Bersatu berkemungkinan menyaksikan berlakunya penghijrahan ahli dari satu pihak ke pihak lain susulan perubahan landskap politik ketika ini.

Bagaimanapun katanya, Pas tidak akan mencampuri keputusan yang dibuat oleh mana-mana individu dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka untuk menentukan hala tuju politik masing-masing.

Pada masa sama, beliau berkata, Pas mengalu-alukan mana-mana ahli Bersatu yang masih mahu meneruskan kerjasama dengan parti itu demi kepentingan bersama.

“Tumpuan Pas adalah terarah kepada usaha memperkasa parti bagi memikul amanah dan aspirasi rakyat dengan lebih berkesan.

“Pas juga akan terus berusaha menjayakan perpaduan politik Melayu Islam serta muafakat pelbagai kaum demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN