KUALA SELANGOR: Tawaran diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menarik sokongan daripada ahli Parlimen disifatkan sebagai luar biasa dan perlu dibentangkan dalam Dewan Rakyat.
Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menggesa kerajaan perlu membentang tawaran itu sepertimana tawaran jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) diberikan kepada pembangkang.
“Saya ingat, kalau kita hendak buat sesuatu itu, kena bincang dalam Parlimen. Contohnya, apabila kita hendak melantik PAC, pengerusinya dahulu di Parlimen daripada pihak kerajaan. Tetapi apabila kita hendak berikan kepada ahli Parlimen pembangkang sebagai Pengerusi PAC, kita tidak umum macam itu (luar Parlimen).
“Sebab bagi saya Parlimen ini ada special of power, kita tahu ada eksekutif, judiciary dan legislative iaitu Parlimen. Jadi apa-apa yang berkaitan dengan legislatif ini biarlah dibincang di dalam Parlimen berbanding diumum oleh eksekutif,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin memberikan tujuh tawaran termasuk menaik taraf kedudukan Ketua Pembangkang dengan saraan bertaraf menteri kanan.
Selain itu, bagi meraih sokongan dan persetujuan secara bipartisan, beliau juga bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan undi 18 tahun (Undi18) dan undang-undang anti-lompat parti.
Bagaimanapun, susulan perutusan khas Perdana Menteri pada 13 Ogos (Jumaat) lalu, tawaran berkenaan dilaporkan ditolak mentah-mentah oleh pimpinan politik dalam Parlimen termasuk UMNO, PKR, DAP dan Amanah.
Namun, meskipun keadaan itu membayangkan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional yang dijangka akan jatuh, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menegaskan, jalinan kerjasamanya dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) tetap kukuh.
Malah, beliau memaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya MN di Selangor dikekalkan walaupun pimpinan parti di peringkat Kerjaan Persekutuan berhadapan dengan konflik.
“MN, kami di Selangor, hubungan saya dengan Pas di negeri ini masih rapat dan selalu berbincang. Malah dalam tempoh empat atau lima hari lepas, kami ada juga berjumpa dan apa-apa juga masalah, kita akan duduk berbincang. Alhamdulillah, setakat ini kita ada kenyataan-kenyataan berkaitan akan buat bersama.
“Saya pun, setakat ini Presiden memberitahu memang Selangor insya-Allah kita akan kekalkan. Saya tengok MN di Pahang pun okey, jadi di Selangor saya minta Pas dengan UMNO kita kena insaf kerana kedua-dua parti ini pembangkang di sini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE