PETALING JAYA: Sime Darby Beyond Auto, rakan runcit rasmi BYD di bawah Sime Motors, melakar sejarah dalam landskap automotif negara menerusi pembukaan BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang.
Uniknya, pusat mobiliti elektrik terbaharu ini ditempatkan di dalam sebuah bangunan warisan berusia seabad di Jalan Macalister, menjadikannya bilik pameran bertema warisan yang pertama bagi jenama BYD di Malaysia.
Melalui proses restorasi yang teliti, hartanah ikonik tersebut telah diubah suai sebagai sebuah destinasi butik automotif, namun tetap mengekalkan ciri seni bina asal bangunan yang pernah menjadi mercu tanda komersial komuniti setempat itu.
Terletak di atas tanah seluas 26,994 kaki persegi, BYD Mansion Macalister menawarkan pengalaman unik di mana kenderaan dipamerkan seperti karya seni di dalam galeri, lengkap dengan ruang perundingan gaya ruang istirahat serta bilik penyerahan kenderaan peribadi.
Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, transformasi hartanah bersejarah ini bukan sahaja memelihara warisan seni bina Pulau Pinang, malah mewujudkan ruang bermakna untuk pelanggan merasai masa depan mobiliti elektrik.
“Ini mencerminkan komitmen jangka panjang Sime Motors dalam menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) dan memperluas kehadiran kami di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Selain bilik pameran, premis ini merupakan pusat pemilikan bersepadu yang dilengkapi pusat servis merangkumi lima ruang kerja, ruang imbangan roda dan tiga ruang penerimaan servis.
Bagi menyokong ekosistem EV di utara tanah air, ia turut menyediakan hab pengecasan bandar yang dilengkapi dengan satu pengecas pantas DC 60kW dan tujuh pengecas AC untuk kegunaan pemilik kenderaan elektrik.
Timbalan Pengurus Besar BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, BYD Mansion Macalister mencerminkan identiti unik Malaysia yang menggabungkan inovasi dan elemen budaya tempatan.
Pelancaran ini merupakan pencapaian penting dalam kerjasama Sime Darby Beyond Auto dan BYD yang bermula sejak Disember 2022.
Setakat ini, rangkaian runcit dan servis mereka telah berkembang pesat merangkumi lokasi di Ara Damansara, TREC Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Tebrau.
Terdahulu, BYD Pulau Pinang turut diiktiraf sebagai Pengedar BYD Terbaik di Malaysia bagi prestasi keseluruhan, selain merangkul 13 daripada 27 anugerah di Malam Anugerah & Persidangan Pengedar BYD tahun ini. – UTUSAN










