PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan sedang menambah lebih banyak bengkel di seluruh negara bagi melaksanakan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) untuk memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan sistem keselamatan tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, hanya kira-kira 20 peratus kenderaan berat di negara ini telah dipasang dengan peranti SLD sejak sistem berkenaan diwajibkan pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan memudahkan pemilik kenderaan berat mendapatkan perkhidmatan pemasangan dan pengesahan sistem berkenaan.
“Kita memang sedang menambah lebih banyak bengkel untuk pemasangan SLD di seluruh negara dan senarai ini akan terus dikemas kini supaya memudahkan pemilik kenderaan.
“Kita faham pemasangan dan pengesahan SLD ini memerlukan rangkaian bengkel yang lebih luas,” katanya dalam sidang media pengumuman garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan, di sini, hari ini.
Loke berkata, kementerian turut meminta pihak industri memandang serius arahan kerajaan berkaitan pemasangan peranti berkenaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan terhadap pematuhan pemasangan SLD telah dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu.
Pada masa sama, katanya, terdapat syarikat pengeluar yang memohon tempoh tambahan bagi membantu proses pemasangan dan pengesahan peranti tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 4,295 notis pengesahan pemasangan SLD telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berat setakat Oktober tahun lalu.
Notis berkenaan dikeluarkan bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem tersebut demi keselamatan pengguna jalan raya. – UTUSAN









