MyCIF perkenal insentif baharu perkasa PMKS, peruntuk RM50 juta

MyCIF perkenal insentif baharu perkasa PMKS, peruntuk RM50 juta

AMIR Hamzah Azizan (tengah) bersama Mohammad Faiz Azmi (kiri) selepas merasmikan Hari Penglibatan MyCIF di Suruhanjaya Sekuriti di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) memperkenalkan inisiatif baharu bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pembiayaan dalam sektor pertumbuhan baharu dengan peruntukan RM50 juta.

Inisiatif itu sekali gus bagi memudahkan pelabur mengakses peluang pelaburan berkualiti tinggi.

MyCIF diperuntukkan RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dengan tambahan sebanyak RM20 juta untuk tahun ini.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, MyCIF telah memperkenalkan inisiatif Skim Ekonomi Perak untuk menggalakkan pelaburan dalam PMKS yang menyokong populasi warga emas Malaysia.

“Ini khususnya dalam teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus dan kediaman warga emas.

“Selain itu, terdapat juga Insentif Perkongsian Keuntungan VC/PE untuk menarik urus niaga yang dipimpin oleh modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) pada platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF).

“Ini sekali gus memberi peluang kepada pelabur menyertai urus niaga yang disokong institusi.

“MyCIF juga akan berkongsi 50 peratus daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE yang berjaya merealisasikan pulangan melalui penjualan atau pelupusan pelaburan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Hari Penglibatan MyCIF di SC bertemakan “Modal Pemangkin untuk Impak Negara” di sini, hari ini.

Skim Keterjaminan Makanan akan diperluaskan untuk merangkumi syarikat baharu agri-teknologi bagi menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara untuk memodenkan pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan.

Menurutnya, Gobi Partners dan OSK Ventures telah berkomitmen untuk bekerjasama dengan platform ECF pada tahun ini.

“Saya menggalakkan pengurus dana lain yang berada di dalam dewan ini untuk meneroka kerjasama serupa. Kita sedang meluaskan lingkaran peluang supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat berkongsi manfaat daripada kisah pertumbuhan ekonomi negara.

“MyCIF kini telah bekerjasama dengan GEAR-uP untuk membina jambatan tersebut.

“Melalui kerjasama ini, syarikat yang menerima pelaburan MyCIF memperoleh laluan lebih jelas untuk mendapatkan pembiayaan susulan daripada modal teroka dan ekuiti persendirian di bawah program syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk Jelawang Capital dan Dana Perintis,” ujarnya.

Dalam pada itu, di bawah Belanjawan MADANI Keempat, kerajaan telah memperuntukkan kemudahan pinjaman dan jaminan berjumlah RM50 bilion bagi 2026 untuk menyokong usahawan tempatan, termasuk RM2.5 bilion kepada TEKUN Nasional dan Bank Simpanan Nasional bagi pembiayaan mikro.

“Kita juga memperkenalkan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi latihan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber kerana PMKS perlu diperkasa untuk bersaing dalam dunia ekonomi digital.

“Melalui inisiatif seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau serta geran bersasar, kerajaan turut menyokong peralihan hijau yang semakin menjadi tuntutan rantaian bekalan global,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, selain inisiatif baharu, MyCIF mengumumkan bahawa ia telah melangkaui RM1.5 bilion dalam pelaburan bersama sejak penubuhannya pada 2019.

“Ditambah dengan jumlah RM6.2 bilion daripada pelabur swasta, MyCIF telah mengumpul dana sebanyak RM7.7 bilion untuk menyokong lebih 11,500 PMKS, terdiri daripada perniagaan tradisional hingga perniagaan didayakan teknologi, sejak enam tahun lalu.

“Di samping itu, pulangan daripada pelaburan bersama MyCIF telah membolehkan geran kumulatif MOF iaitu sebanyak RM290 juta dikitar semula sebanyak 5.2 kali ganda.

“Model MyCIF merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang membolehkan kerajaan melabur bersama pelabur swasta dalam kempen ECF dan P2P yang layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×