PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan wujudnya bayaran rasuah RM80 kepada penjaga pintu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi setiap orang yang ingin masuk dan mendapatkan vaksin di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam sebagaimana video tular di media sosial.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menjalankan risikan bagi memantau tohmahan terbabit dan mendapati, kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC, Shah Alam seperti dikatakan dalam video tersebut.
Katanya, isu yang dibangkitkan dalam video itu ialah berhubung segerombolan individu bukan warganegara Malaysia beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV SACC, Shah Alam.
“Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.
“SPRM menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit. Tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk dapat masuk adalah tidak benar,” katanya hari ini.
Menurut SPRM, PPV Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Bagaimanapun, katanya, terdapat masalah pada sistem di mana janji temu untuk individu juga terselit di PPV Midlands ini.
Oleh itu, dikatakan punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE










