Detik akhir Lokomotif Ekspres Selatan

Detik akhir Lokomotif Ekspres Selatan

SUKI Hussin memandu buat kali terakhir tren Ekspres Selatan dari Johor Bahru ke Gemas yang menamatkan perkhidmatannya di Stesen JB Sentral, Johor Bahru kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perasaan bercampur baur antara suka dan sedih menyelubungi hati seorang pemandu lokomotif berpengalaman, Suki Hussin, 56, apabila perkhidmatan Ekspres Selatan yang dipandunya sekian lama kini secara rasmi menamatkan operasi kelmarin.

Selepas lebih 25 tahun me­ngemudi lokomotif, anak jati Kelantan itu mengakui sukar menahan emosi apabila tren yang menjadi ‘teman setia’ sejak 2001 kini hanya tinggal kena­ngan.

Beliau memulakan tugas membawa lokomotif dari Gemas dan Ekspres Selatan menjadi sebahagian besar perjalanan hidup serta kerjayanya.

“Memang sedih sebab selepas ini dah tak ada lagi Ekspres Selatan, tetapi dalam ke­sedihan itu ada juga rasa bangga kerana sudah lama berkhidmat sebagai pemandu. Banyak kena­ngan tercipta sepanjang laluan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum memulakan perjalanan terakhir tren berke­naan ke Stesen Gemas.

Bapa kepada empat orang anak itu turut berkongsi pe­ngalaman pahit manis sepanjang kerjayanya, termasuk detik paling sukar apabila tren yang dipandunya pernah melanggar individu di atas landasan.

Katanya, kejadian sedemikian meninggalkan kesan mendalam dan sukar dilupakan.

“Itu antara pengalaman pa­ling berat untuk saya hadapi. Ia menghantui, namun sebagai pemandu, saya perlu kekal kuat dan bertanggungjawab demi keselamatan penumpang,” ujar­nya.

Bagaimanapun, Suki berkata perjalanan kerjayanya masih belum berakhir apabila dijangka meneruskan tugas membawa perkhidmatan tren di laluan timur selain mengendalikan Train Multiple Unit (TMU), sekali gus membuka lembaran baharu sebagai pemandu lokomotif berpengalaman.

Bagi Suki, meskipun Ekspres Selatan kini menjadi sebahagian daripada sejarah perkhidmatan rel negara, kenangan mengemudi ‘besi beroda’ itu akan terus terpahat dalam ingatan.

“Tren ini bukan sekadar pekerjaan, sebaliknya sebahagian daripada hidup saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN