Tradisi berzanji dalam kehidupan orang Melayu

Tradisi berzanji dalam kehidupan orang Melayu

AMALAN berzanji sudah sebati dalam kalangan orang Melayu, terutamanya dalam majlis keraian seperti kenduri kahwin dan cukur jambul bayi baru lahir. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMALAN berzanji dalam kalangan orang Melayu bukanlah perkara asing, malah sudah lama diserap menjadi budaya dan kepercayaan agama.

Biasanya amalan berzanji ini dilakukan pada hari sambutan Maulidur Rasul dan majlis bercukur bayi.

Ia dibacakan secara berlagu dalam bahasa Arab bahkan ada juga di beberapa tempat yang berzanji dalam bahasa Melayu.

Sekalipun masyarakat kita mengetahui amalan berzanji, namun adakah kita memahami hakikat sebenar amalan bacaan tersebut?

BERZANJI MENGISAHKAN PERIHAL KELAHIRAN RASULULLAH SAW

Berzanji diambil sempena nama seorang ulama besar di Madinah al-Munawwarah iaitu al-Syeikh al-Sayyid Ja‘far bin Hasan bin Abdul Karim bin Muhammad bin Abdur Rasul al-Barzanji.

Kalimah al-Barzanji bermaksud orang barzanj yang merupakan satu tempat di Iraq.

Al-Syeikh al-Sayyid Ja‘far bin Hasan al-Barzanjiyy lahir di al-Madinah al-Munawwarah pada 1128 hijriah (1716 Masihi) dan meninggal dunia pada 1177 hijrah (1763 Masihi).

Beliau menuntut ilmu di al-Masjid al-Nabawi di bawah bimbingan ulama Madinah ketika itu.

Antara gurunya ialah al-Syeikh Ismail al-Yamani (guru yang membimbing beliau menghafaz al-Quran) dan al-Syeikh Yusuf al-So‘idiyy (guru Qiraat).

Al-Syeikh al-Sayyid Ja‘far al-Barzanji mula mengajar di al-Masjid al-Nabawi ketika berusia 31 tahun.

Ketinggian ilmunya menyebabkan beliau dilantik menjadi Mufti al-Madinah bagi mazhab al-Imam al-Syafi‘iyy selain menjadi khatib al-Masjid al-Nabawiyy. Beliau meninggalkan kepada kita pelbagai kitab dalam pelbagai bidang. Antaranya adalah ‘Iqd al-Jawhar Fi Mawlid al-Nabiyy al-Azhar yang akhirnya lebih terkenal dengan nama Mawlid al-Barzanjiyy atau Bacaan Berzanji mengikut loghat orang Melayu.

Kitab Mawlid al-Barzanjiyy adalah sebuah buku yang ditulis menceritakan hal kelahiran Rasulullah SAW, kisah hidup baginda, kemuliaan baginda serta sifat-sifat fizikalnya.

Terdapat banyak buku yang dikarang para ulama berada pada katagori al-Mawlid (buku perihal kelahiran Rasulullah SAW) seperti al-Mawrid al-Haniyy Fi al-Mawlid al-Saniyy karya al-Imam al-Hafiz Abdul Rahim bin al-Husayn al- ‘Iroqiyy dan Mawlid Ibni Hajar karya al-Imam Ibnu Hajar al-Haytamiyy, namun Mawlid al-Barzanjiyy lebih tersebar umum ke segenap dunia termasuk di Nusantara.

PENYEBARAN KITAB BERZANJI DI ALAM MELAYU

Tidak dapat dipastikan bilakah kitab Maulid al-Barzanji masuk ke alam Melayu. Kitab ini sudah mula tersebar dalam kalangan orang-orang Nusantara pada zaman al-Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantaniyy yang lahir pada 1230 hijrah (1815 Masehi) dan wafat pada 1316 Hijrah (1898 Masehi). Ini kerana beliau sendiri menghasilkan sebuah buku yang menghuraikan kitab Mawlid al-Barzanjiyy dengan nama: Madarij al-Su‘ud Ila Iktisa’ al-Burud.

Beliau di dalam mukadimahnya menyatakan seseorang memintanya menulis huraian bagi kitab al-Mawlid kalangan al-Sayyid Ja‘far al-Barzanjiyy agar orang sebangsa beliau (Nusantara) dapat mengambil faedah daripada huraian tersebut.

Maka atas dasar permintaan tersebut, al-Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantaniyy mula menghuraikan Mawlid al-Barzanjiyy pada siang Rabu 18 Rabiul Awal tahun 1293 Hijrah (12 April 1876) yang akhirnya selesai dihasilkan pada siang Sabtu 19 Rabiul Akhir tahun 1293 Hijrah (13 Mei 1876).

Bahkan atas kapasiti al-Syeikh al-Sayyid Ja‘far bin Hasan sebagai Mufti Mazhab al-Imam al-Syafi‘iyy di al-Madinah al-Munawwaroh, maka tidak mustahil kitab al-Mawlid yang dihasilkannya tersebar ke alam Melayu melalui ulama Melayu yang menuntut ilmu di tanah Hijaz dan melalui para penziarah kota al-Madinah al-Munawwarah ketika itu.

Bahkan di Terengganu khususnya bacaan Barzanji menjadi amalan yang subur pada era pemerintahan Sultan Terengganu ke-12; Sultan Zainal Abidin III Muazzam Shah Ibni Sultan Ahmad Muazzam Shah II yang memerintah dari 1881 sehingga 1918.

AMALAN BERZANJI KUKUH KECINTAAN pada RASULULLAH SAW

Pembacaan kitab Mawlid al-Barzanji sebenarnya satu cara mendidik masyarakat semakin menghayati kisah dan keperibadian Rasulullah SAW.

Masyarakat akan diajak berselawat dan memuji Allah setiap kali petikan kitab Barzanji dialunkan.

Kekerapan bacaan kitab Barzanji di dalam pelbagai acara seperti sambutan Maulidurrasul, perkahwinan dan kelahiran bayi akan menyemarakkan lagi pengetahuan yang mendalam terhadap kisah hidup Rasulullah SAW.

Bacaan berlagu dengan pelbagai rentak akan mendorong masyarakat Melayu mencintai bacaan Barzanji. Namun kebanyakan pembaca dan pendengar bacaan Barzanji tidak mengetahui maksud petikan yang dibaca kerana bacaannya adalah dalam bahasa Arab.

Maka menjadi satu tanggunjawab besar untuk memahami maksud setiap patah rangkap yang dibaca agar tujuan sebenar bacaan Maulid al-Barzanji dapat dicapai.

KANDUNGAN KITAB MAWLID AL-BARZANJI

Kitab mawlid al-Banzanji sarat dengan pengetahuan penting mengenai Rasulullah SAW.

Kitab itu mendedahkan kepada kita nasab mulia Rasulullah SAW sehingga bersambung kepada Saidina ‘Adnan yang merupakan zuriat keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim.

Kitab ini turut mendedahkan siapakah ibu-ibu susuan Rasulullah SAW selain menceritakan kewafatan insan-insan mulia yang bersama baginda seperti ayahanda baginda; Saidina Abdullah bin ‘Abdul Muttalib saat baginda berusia dua bulan di dalam kandungan, ibunda baginda; Saidatina Aminat dan datuk baginda; Saidina ‘Abdul Muttolib. Begitulah al-Imam Ja‘far al-Barzanji mendedahkan kepada kita kisah hidup baginda sehinggalah kisah ketibaan baginda ke Quba dalam peristiwa hijrah.

Beliau turut memasukkan ciri-ciri fizikal baginda jua hal-ehwal keperibadian baginda. Lalu beliau menutup kitab ini dengan mempersembahkan permohonan kepada Allah dengan bertawasul kepada Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda dan para pendokong Syariat agar Allah memberikan kepada kita taufiq di dalam perkataan dan perbuatan.

SALAHKAH KITAB MAWLID AL-BARZANJI DIBUDAYAKAN?

Sekalipun kitab al-Mawlid dihasilkan oleh seorang ulama dan tidak ada saranan khusus daripada Rasulullah SAW agar kita membaca kitab ini seumpama kitab al-Barzanji, namun pembudayaannya di dalam masyarakat bukanlah satu usaha yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah merupakan arahan daripada Allah dan RasulNya.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tidak akan beriman seorangpun daripada kalian (secara sempurna) sehinggalah daku menjadi yang paling dicintainya melebihi cintanya kepada ibu ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya”, maka seluruh cara yang tidak melanggari syariat yang menerbitkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW adalah diizinkan oleh Allah.

Penerusan budaya pembacaan kitab al-Barzanji dalam kalangan masyarakat dapat menunjukkan betapa adat istiadat orang Melayu digarap dengan Syariat Islam.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN