LUMUT: Anak yatim dan asnaf bersyukur apabila menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria.
Mereka terdiri daripada 112 anak yatim dan asnaf dalam DUN Pangkor yang memilih pakaian sekolah sendiri termasuk kasut di sebuah pasar raya di sini semalam.
Seorang penerima sumbangan tersebut, Norlinda Basri, 43, berkata, sumbangan itu sangat bermakna dan sangat membantunya ketika suami mengalami masalah kesihatan dan tidak boleh bekerja.
Menurutnya, untuk itu tanggungjawab menjaga dan membesarkan tujuh anaknya dilakukannya sendiri.
“Saya bersyukur sebab dapat membeli pakai sekolah untuk anak-anak RM100 setiap seorang seramai tujuh orang dibantu oleh Yang Berhormat.
“Saya hanya peniaga kecil menjual minuman tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak seramai tujuh orang, ada yang bersekolah menengah dan tinggal di asrama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penerima, Anuar Mohd Nor, 44, berkata, bantuan tersebut dapat meringankan beban ibu bapa dan menceriakan anak-anak untuk berpakaian baru dan kelengkapan persekolahan tahun depan.
“Saya amat bersyukur sebab dapat beli kelengkapan sekolahan dengan sumbangan tunai yang diagih kepada setiap lima orang anak saya yang masih bersekolah.
“Harga kelengkapan persekolahan semakin mahal dan bagi saya yang ramai anak iaitu lima orang yang bersekolah, sudah tentu terbeban, namun bantuan seperti ini meringankan beban,” katanya.
Sementara itu, Norhaslinda berkata, seramai 112 anak yatim dan asnaf menerima bantuan tersebut dipilih sejak sebulan lalu daripada keluarga yang benar-benar layak mendapat bantuan. – UTUSAN










