Trump tarik balik Pasukan Pengawal Kebangsaan di tiga bandar 

Trump tarik balik Pasukan Pengawal Kebangsaan di tiga bandar 

ANGGOTA Pengawal Kebangsaan meronda pada malam Tahun Baharu bagi memperketatkan keselamatan di sekitar kawasan bersejarah di New Orleans.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan menarik balik penempatan Pasukan Pengawal Kebangsaan dari Chicago, Los Angeles dan Portland, susulan beberapa kekalahan undang-undang berkaitan pengerahan tentera di bandar-bandar berkenaan.

Pemimpin Republikan itu menghantar pasukan ke beberapa bandar yang ditadbir Parti Demokrat sepanjang tahun pertama beliau kembali berkuasa, dalam usaha membanteras pendatang tanpa izin dan jenayah.

Bagaimanapun, pemimpin tempatan mengkritik langkah tersebut sebagai penyalahgunaan kuasa bersifat autoritarian dan memfailkan beberapa cabaran undang-undang yang berjaya, termasuk keputusan Mahkamah Agung AS minggu lalu yang menyekat penempatan di Chicago.

“Kami menarik balik Pasukan Pengawal Kebangsaan dari Chicago, Los Angeles dan Portland, walaupun hakikatnya jenayah berkurangan dengan ketara hasil kehadiran para Patriot hebat ini di bandar-bandar tersebut dan hanya kerana sebab itu,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Dalam kenyataan pada malam Tahun Baharu itu, Trump mendakwa ketiga-tiga bandar berkenaan akan musnah sekiranya kerajaan Persekutuan tidak campur tangan.

“Kami akan kembali, mungkin dalam bentuk yang jauh berbeza dan lebih kuat, apabila jenayah mula melonjak semula, hanya soal masa!” tegasnya lagi.

Penempatan Pasukan Pengawal Kebangsaan merupakan antara teras dasar keras Trump terhadap migran dan jenayah sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari.

Los Angeles menjadi bandar pertama yang menyaksikan kehadiran pasukan di jalanan pada Jun lalu, apabila Trump mengetepikan kepimpinan Demokrat tempatan dan mengarahkan 4,000 anggota simpanan Pengawal Kebangsaan untuk meredakan protes berkaitan serbuan imigresen.

Beliau turut menghantar Pasukan Pengawal Kebangsaan ke ibu negara Washington dan Memphis, Tennessee serta mengancam untuk berbuat demikian di San Francisco.

“Trump kalah di mahkamah apabila Illinois bangkit menentang cubaan beliau mempersenjatai bandar-bandar AS dengan Pasukan Pengawal Kebangsaan. Kini Trump terpaksa berundur,” kata Gabenor Illinois, JB Pritzker, menerusi platform X.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×