Sindiket rokok seludup RM1 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket rokok seludup RM1 juta tumpas

LORI dan van yang ditahan Batalion 6 PGA kerana menyimpan rokok tanpa cukai bernilai hampir RM1 juta di sebuah premis di Taman Berlian, Batu Pahat di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Aktiviti sebuah sindiket memasarkan rokok tanpa cukai di beberapa lokasi dipatahkan apabila hampir RM1 juta nilai tembakau seludup itu dirampas sepasukan polis Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Deputi Superintenden Salehin Suleiman berkata, dalam serbuan menerusi Op Kontraban pada Jumaat lalu, pihaknya menemukan 884,400 batang rokok disimpan dalam dua buah kenderaan yang berada di pekarangan sebuah premis di Taman Berlian, di sini.

Menurut beliau, seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun turut ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai pemandu kenderaan itu atau ‘transporter’ dengan menghantar bekalan rokok seludup ke lokasi ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan pada pukul 4.30 petang, kesemua rokok yang disimpan dalam kotak berwarna coklat ini berjaya ditemukan dalam sebuah lori jenis Hicom dan sebuah van jenis Toyota Hiace disyaki rokok seludup.

“Nilai rampasan rokok berjumlah RM974,194 manakala keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah sebanyak RM1.19 juta. Dengan serbuan yang dijalankan ini telah berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran rokok tanpa cukai yang aktif di sekitar daerah Batu Pahat dan Muar.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam dan suspek yang merupakan pemandu ditahan reman selama 14 hari bermula semalam (Sabtu) bagi membantu siasatan. Hasil pemeriksaan lanjut, suspek berperanan sebagai pemandu lori dan mengambil upah untuk menghantar rokok seludup ke lokasi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, pasukan polis Batalion 6 PGA berjaya melancarkan 13 serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar negeri ini, Melaka dan Negeri Sembilan.

Menurut Salehin, serbuan dijalankan sejak awal tahun itu telah menahan seramai 32 individu berusia antara 17 hingga 56 tahun yang terlibat secara langsung di dalam aktiviti penyeludupan melibatkan barang-barang kontraban.

“Hasil serbuan turut berjaya merampas pelbagai barangan melibatkan rokok tanpa cukai, minuman keras, dadah, mercun dan kenderaan membabitkan nilai rampasan sehingga RM6.7 juta.

“Justeru, kami menyeru orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menghulurkan segala maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan yang berlaku di sekitar kawasan anda bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti penyeludupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN