Setiap dasar, pelaburan mesti untungkan rakyat, negara

Setiap dasar, pelaburan mesti untungkan rakyat, negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEPSI awam yang dibentuk bahawa kerajaan khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menghalang pelaburan sebuah syarikat pengeluar kereta elektrik telah menenggelamkan dasar kerajaan dalam menjadikan negara ini sebagai hab untuk pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV).

Tanpa berlandaskan fakta, orang awam telah berhujah tentang ketidakadilan, tidak profesional, malah ada yang mengaitkan ia cubaan untuk melindungi individu tertentu.

Sedangkan Dasar Automotif Negara (NAP) disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 telah menggariskan bahawa setiap polisi dan pelaburan mesti menguntungkan rakyat dan negara.

Sudah tentu dalam hal ini kita tidak boleh berkompromi dengan kumpulan-kumpulan yang membawa masuk produk ke negara ini semata-mata untuk mengaut keuntungan daripada pasaran kita tanpa memberi pulangan kepada rakyat dan negara.

NAP tidak pernah menghalang mana-mana pemain dari seluruh dunia untuk masuk ke negara ini. Malaysia tidak lagi mengamalkan dasar melindungi kumpulan tertentu.

Biarpun Proton dan Perodua dilaporkan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 700,000 anak tempatan dengan sumbangan tahunan kira-kira empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berdasarkan KDNK dominal negara pada 2024, sumbangan tersebut berjumlah lebih RM16 bilion.

Di sebalik pentingnya sumbangan produk automotif tempatan ini, Malaysia masih membenarkan kemasukan jenama-jenama baharu untuk bersaing secara terbuka di pasaran tempatan.

Tetapi serangan tanpa berasaskan fakta terhadap kerajaan adalah cubaan membalas tuba selepas diberikan madu.

Sedangkan dalam NAP dan NIMP jelas dinyatakan bahawa apa sahaja pelaburan dan projek ekonomi di Malaysia perlu bergerak ke arah aktiviti nilai tambah tinggi sebenar, termasuk pembuatan, kejuruteraan dan pemindahan teknologi.

Tidak memadai sekadar masuk untuk cuba mendapatkan sebahagian kek pasaran di negara ini tanpa memberikan apa-apa sumbangan ke aras pembangunan dan pengembangan industri pada masa hadapan.

Sebab itu MITI menegaskan bahawa dalam setiap pelaburan mesti menyatakan komitmen eksport yang jelas dan ada pelan yang ada manfaat tempatan seperti melahirkan vendor-vendor yang membekalkan komponen.

Jika sekadar datang pasang dan jual tanpa rakyat kita dapat merasai limpahan ekonomi atau langsung tidak ada komitmen untuk membantu meningkatkan eksport negara, tidak perlulah ada kilang pemasangan. Lebih bawa masuk kenderaan yang sudah dipasang siap sepenuhnya (CBU).

Jadi, rakyat Malaysia pun janganlah cepat melatah dan terus mahu menyebelahi kepada syarikat asing yang jasanya belum seberapa kepada rakyat dan negara.

Kena tengok juga kesan kemasukan besar-besaran mereka ini kepada pemain-pemain automotif tempatan yang selama ini telah berjasa menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan, melahirkan ramai jurutera dan tenaga mahir selain menyumbang kepada KDNK negara pada kadar yang signifikan.

Lihat dan kaji pendekatan konsisten yang dikenakan oleh MITI ke atas semua pelaburan automotif baharu di Malaysia bermula September 2025.

Matlamatnya ialah supaya ada prinsip menang-menang. Pelabur mendapat untung dengan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk kenderaan mereka masuk ke pasaran dunia.

Dan kita pula mendapat manfaat daripada segi peluang ekonomi, pekerjaan untuk rakyat, pemindahan teknologi dan peningkatan KDNK.

Sesuatu pelaburan itu tidak akan berguna jika tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

UTUSAN