HAVANA: Pihak berkuasa Cuba mula membebaskan banduan selepas mengumumkan pengampunan terhadap 2,010 tahanan kelmarin.
Ia merupakan pembebasan kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan ketika negara itu berdepan peningkatan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS).
Lebih 20 banduan dilaporkan bebas dari penjara La Lima di timur Havana pada Jumaat, dengan memegang dokumen pembebasan dan diselubungi suasana hiba ketika bertemu ahli keluarga yang menunggu sejak awal pagi.
“Terima kasih atas peluang yang diberikan kepada kami ini,” kata Albis Gainza, 46, yang menjalani separuh daripada hukuman penjara enam tahun atas kesalahan merompak.
Kerajaan Cuba pada Khamis mengumumkan rancangan untuk memberikan pengampunan kepada 2,010 banduan sebagai isyarat ‘kemanusiaan’ sempena memperingati Minggu Suci.
Pengumuman tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump melonggarkan sekatan bekalan minyak ke atas Cuba, dengan membenarkan sebuah kapal tangki Russia menghantar minyak mentah ke negara tersebut.
Pentadbiran Trump sebelum ini lantang menuntut perubahan dalam sistem kerajaan komunis Cuba, malah Presiden AS itu pernah menyuarakan hasrat untuk mengambil alih pulau tersebut.
Pembebasan tahanan politik sekian lama menjadi tuntutan asas AS terhadap Cuba. Kedua-dua pihak mengadakan rundingan baru-baru ini, di mana Havana pada bulan lalu berjanji untuk membebaskan puluhan tahanan.
Setakat ini, kerajaan Cuba belum memperincikan identiti mereka yang mendapat pengampunan, jenis kesalahan dilakukan atau garis masa pembebasan penuh.
Pihak berkuasa berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan sifat jenayah, kelakuan baik sepanjang di penjara, faktor kesihatan serta tempoh hukuman yang dijalani.- AGENSI










