PETALING JAYA: Tiada sidang akhbar khas diadakan esok oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipercayai berhubung situasi politik semasa.
Perkara itu disahkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri kepada Utusan Online hari ini.
“Tiada PC (sidang akhbar) esok dari Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Terdahulu, difahamkan, Ismail Sabri dalam sidang akhbar itu yang juga Naib Presiden UMNO dijangka diiringi ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi penjelasan mengenai sokongan terhadap kerajaan semasa.
Terdahulu, UMNO memilih mengambil berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, dalam keputusan tersebut, terdapat beberapa ahli Parlimen yang tidak akur sekali gus menyokong kerajaan di bawah pentadbiran Muhyiddin.
Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli. – UTUSAN ONLINE










