JOHOR BAHRU: Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menyindir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan memberi contoh dua Perdana Menteri terdahulu yang telah membentang usul menyokong kedudukan mereka.
Dua Perdana Menteri yang disebut beliau adalah Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Allahyarham Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri pada 15 Januari 1976 dan bawa Usul Percaya pada 27 Januari (tahun sama) 14 hari, jarak masa dua minggu sahaja.
“Inilah tahap integriti dan pegangan kepada Demokrasi Berparlimen pemimpin terulung UMNO. Dari Johor pula tu. Tan Sri (Muhyiddin) juga orang Johor, tapi dari Perikatan Nasional (PN). Dari Februari 2020 sampai September 2021 hanya bergantung kepada akuan bersumpah (SD).
“Oi mak…lamanya. Tak tahu malu ke,” tulisnya dalam satu hantaran yang dikongsikan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Veteran UMNO itu berkata, Tun Abdullah turut membuat perkara sama dengan membentangkan usul mengalu-alukan dan menyokong pelantikan beliau di Dewan Rakyat.
“Sungguhpun dibawa ke Dewan Rakyat tujuh bulan selepas diperkenan pelantikan sebagai Perdana Menteri, tetap tidak selama macam mana Tan Sri bergayut kepada kedudukan dan kuasa,” katanya.
Semalam, Muhyiddin memberitahu tiada keperluan untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana masih mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.
Beliau bagaimanapun akan membuktikan perkara tersebut dalam mesyuarat Parlimen yang dijadual bersambung pada September ini sementara kerajaan sedia ada akan terus mentadbir negara.
Muhyiddin turut memohon maaf kepada rakyat kerana beliau terpaksa membuktikan keabsahan selaku Perdana Menteri ketika negara sedang dilanda peningkatan kes harian Covid-19.










