Trump isytihar perang dengan Iran hampir tamat kepada Fox News - Utusan Malaysia

Trump isytihar perang dengan Iran hampir tamat kepada Fox News

DONALD TRUMP - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memaklumkan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ‘hampir berakhir’ ketika ketegangan mula reda di bawah perjanjian gencatan senjata dua minggu.

“Saya rasa ia hampir tamat, ya. Saya melihat ia sangat hampir untuk berakhir,” kata Trump kepada pengacara FOX Business, Maria Bartiromo dalam satu temu bual yang akan disiarkan dalam rancangan Mornings with Maria pada Rabu.

Kenyataan presiden itu dibuat ketika rundingan damai antara pegawai AS dan perunding Iran dilaporkan dijangka disambung semula pada Khamis selepas rundingan hujung minggu di Pakistan gagal mencapai kemajuan.

Pada Isnin, Trump melaksanakan sekatan laut ke atas semua pelabuhan Iran, sekali gus meningkatkan ketegangan selepas AS bersetuju menghentikan pengeboman ke atas Iran minggu lalu.

Walaupun Trump berkata perang hampir berakhir, beliau turut menegaskan AS masih belum selesai dengan konflik tersebut.

“Jika saya berundur sekarang, mereka akan mengambil masa 20 tahun untuk membina semula negara itu. Dan kami belum selesai.

“Kita lihat apa yang berlaku. Saya rasa mereka sangat mahu mencapai perjanjian,” katanya.

Naib Presiden, JD Vance, bersama pegawai kanan Rumah Putih dilaporkan mengadakan rundingan dengan pegawai Iran pada hujung minggu di Pakistan mengenai program nuklear dan rancangan pengayaan Tehran.

Rundingan tersebut dilaporkan tidak menghasilkan sebarang kejayaan besar, namun Vance pada Isnin berkata ‘banyak kemajuan’ dicapai dan Iran memegang kata putus terhadap langkah seterusnya dalam konflik itu.

“Anda bertanya apa yang akan berlaku seterusnya, saya fikir rakyat Iran akan menentukan apa yang akan berlaku seterusnya,” kata Vance.

Gencatan senjata selama dua minggu antara AS dan Iran yang diusahakan Pakistan dilihat rapuh.

Rundingan di Islamabad untuk menamatkan perang secara kekal gagal selepas Teheran enggan memenuhi tuntutan utama, termasuk menghentikan program nuklear dan sokongan terhadap kumpulan proksi.

Susulan itu, Trump mengumumkan sekatan laut ke atas pelabuhan Iran yang dijadual bermula pada 13 April.

AS dan Iran kini dilaporkan sedang mengadakan rundingan aktif bagi pusingan baharu untuk menamatkan perang, yang berkemungkinan berlangsung seawal 16 April.

Islamabad dan Geneva sedang dipertimbangkan sebagai lokasi, namun keputusan muktamad masih belum dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×