LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak menjadikan keletihan sebagai alasan menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Sporting Lisbon, awal pagi esok.
Berbekalkan kelebihan tipis 1-0 hasil kemenangan di Lisbon minggu lalu, The Gunners kini berada di persimpangan penting musim ini selepas melalui prestasi tidak menentu dengan tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir.
“Saya tidak mahu gunakan itu sebagai alasan. Kami sudah lama bermain setiap tiga hari dan perlu terus melakukannya.Inilah realitinya dan kami perlu menerimanya dan, paling penting, menikmati peluang ini.
“Kami tidak menunjukkan tahap keseronokan dan keinginan untuk mengubah perlawanan apabila keadaan menjadi sukar. Itu yang perlu diperbaiki,” katanya.
Arsenal terlepas dua peluang menjulang trofi apabila tewas 0-2 kepada Manchester City dalam final Piala Liga, sebelum disingkirkan pasukan divisyen dua, Southampton dalam suku akhir Piala FA.
Lebih membimbangkan, kekalahan mengejut 1-2 di laman sendiri kepada Bournemouth hujung minggu lalu turut menggugat impian Arsenal untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selama 22 tahun.
Kini hanya enam mata memisahkan Arsenal di puncak dengan City di tangga kedua yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan, menjadikan pertemuan di Stadium Etihad, Ahad ini sebagai penentu besar.
Situasi itu meletakkan Arteta dalam dilema sama ada menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kemaraan ke separuh akhir, atau merehatkan tonggak utama demi aksi getir menentang City.
Walaupun jadual padat dengan 54 perlawanan musim ini jelas menguji ketahanan fizikal pemain, Arteta tetap enggan menjadikan faktor tersebut sebagai alasan.- AGENSI










