Pengusaha pasir sungai terhimpit kenaikan diesel

Pengusaha pasir sungai terhimpit kenaikan diesel

OPERASI pasir sungai di tepi Sungai Perak menggunakan jengkaut ketika tinjauan di Kampung Gajah di Pasir Salak semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pengusaha pasir sungai di Pulau Juar, Kampung Gajah di sini mengeluh apabila terpaksa menanggung beban kenaikan harga diesel mendadak, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tidak semua jentera berat dan pam sedut pasir di Sungai Perak di kawasan itu digunakan berikutan kekangan bekalan bahan api dan had pembelian diesel dikenakan.

Pengusaha yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 47, berkata, situasi itu dirasai sejak harga diesel meningkat dan pembelian bahan api itu dikenakan kuota tertentu, sedangkan semua operasi melibatkan jentera itu, bergantung sepenuhnya kepada diesel.

“Saya ada empat jengkaut, sebuah mesin sedut pasir dan sebuah pam air. Kesemua mesin ini menggunakan kira-kira 400 liter diesel sehari.

“Dengan kenaikan harga diesel, saya hanya mampu menggunakan dua mesin jengkaut sahaja selain bekalan diesel tidak mencukupi kerana pembelian dihadkan,” katanya.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada permintaan pelanggan apabila banyak lori tidak lagi datang mengambil bekalan pasir susulan peningkatan kos bahan api.

“Biasanya sekurang-kurang­nya 50 lori sehari datang angkut pasir, tetapi kini hanya kira-kira tujuh hingga kurang daripada 10 lori sahaja sedangkan permintaan banyak,” katanya.

Wong turut bimbang memikirkan pembayaran gaji pekerjanya sekiranya keadaan tersebut berlarutan.

“Saya mempunyai enam pekerja yang perlu disara dan mereka juga mempunyai keluarga.

“Saya harap kerajaan mengkaji semula harga diesel kerana jika masalah ini berterusan, operasi sedut dan jualan pasir mungkin terpaksa dihentikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN