PASIR SALAK: Musim durian di Kampung Gajah di sini kali ini disifatkan paling lebat selepas raja buah itu ‘merajuk’ kesan banjir besar pada 2014.
Bencana alam berlaku lebih 10 tahun lalu itu menyebabkan pokok durian tidak lagi berbuah lebat seperti biasa kerana rosak dan mati akibat lama terendam dalam banjir.
Kini pokok raja buah itu mula mengeluarkan hasil dan memberikan rezeki lumayan kepada pemilik dusun.
Antara kampung mengalami musim durian ketika ini termasuk Kampung Pasir Kubu, Kampung Pasir Garam, Kampung Pasir Salak, Kampung Teluk Sena, Kampung Pulau Lambor Kiri dan beberapa kampung lain.
Keadaan itu menyebabkan pemilik dusun tidak menyangka musim kali ini memberikan hasil lumayan sehingga mereka mampu mengutip berbakul-bakul buah durian setiap hari.
Musim durian kali ini yang luar biasa lebat membawa rezeki berganda buat peraih muda, Nor Laila Sarah Abdullah, 22, yang menyifatkan ia sebagai lambakan terbesar sejak lebih 10 tahun lalu.
Dia membeli durian daripada penduduk kampung pada harga dusun RM5 sekilogram dan tidak menghadapi masalah menjual semula kepada pemborong luar daerah.
“Kali terakhir durian berbuah lebat begini ialah sebelum banjir besar 2014. Kini, pokok-pokok sudah pulih dan hasilnya sangat menggalakkan,” katanya.
Pemborong dari Kuala Lumpur, Manjung, Bagan Datuk dan Teluk Intan datang membeli antara 300 hingga 1,000 kilogram durian setiap kali.
Sejak awal pagi, pusat pengumpulan buah di kampungnya sentiasa sibuk dengan kehadiran pemborong yang menunggu durian dikutip dari kebun.
Dia menyifatkan musim ini sebagai rezeki besar penduduk kampung, selain menjadi tanda bahawa pokok durian telah pulih sepenuhnya daripada kesan banjir lalu.
Musim durian di kawasan itu kini baru bermula dan dijangka berterusan selama beberapa minggu lagi.










