KUANTAN: Isi selagi boleh ke dalam guni disediakan dengan harga RM100. Itu keunikan konsep yang dilakukan oleh penjual durian di Kampung Balok di sini sekali gus mengundang perhatian penggemar raja buah tersebut.
Peniaga terbabit, Muhammad Azril Syazrin Izani, 31, berkata, konsep itu bukan hanya sekadar teknik pemasaran semata sebaliknya dia mahu pelanggan menikmati durian sepuasnya.
Dia yang berniaga durian sejak enam tahun lalu berkata, idea tersebut timbul selepas dia kasihan melihat pasangan ibu bapa yang mempunyai anak ramai terpaksa berbelanja lebih untuk membeli durian.
“Kalau beli satu atau dua kilogram, benda itu agak mahal bagi sesetengah orang, jadi saya perkenalkan konsep satu guni hanya RM100 supaya mereka boleh bawa balik lebih banyak durian untuk keluarga.
“Untung atau rugi itu belakang kira, yang penting orang dapat makan dan puas hati,” katanya ketika ditemui di gerai durian miliknya yang terletak di hadapan Masjid Kariah Balok di sini hari ini.
Menurut Muhammad Azril Syazrin, pelanggan boleh memilih sendiri durian yang dilonggokkan dan mengisi ke dalam guni yang disediakan semahunya selagi boleh diisi.
“Selain durian kampung, kadang kala kami akan campurkan juga dengan durian premium seperti IOI, Musang King dan Duri Hitam bergantung kepada stok semasa.
Jika pelanggan pandai susun dalam guni, mereka boleh dapat lebih 30 biji bergantung saiz buah,” jelasnya.
Beliau memberitahu, bekalan durian diperoleh daripada kebun keluarga dan pembekal di Jementah, Johor dengan jumlah mencecah sehingga 15 tan sehari.
“Selain itu, saya turut menawarkan harga istimewa pada masa-masa tertentu iaitu antara RM8 hingga RM10 sekilogram bagi sesetengah jenis durian serta jualan RM10 sebakul. Malah, saya juga memberi durian Musang King secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung sebagai tanda penghargaan,” katanya. – UTUSAN










