BATU KAWAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkan majikan dalam sektor peruncitan dan pengedaran menyegerakan proses vaksinasi pekerja masing-masing bagi membolehkan perniagaan mereka kembali beroperasi.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pihaknya sedia memberikan sokongan dan bantuan jika diperlukan berhubung perkara tersebut.
Sebagai contoh kata beliau, KPDNHEP pernah membantu menyediakan 10 buah bas kepada majikan dari Pahang untuk divaksin di Kuala Lumpur kerana mereka tidak mahu menunggu terlalu lama sebelum divaksin.
“Kalau ikut sasaran awal, kita berharap menjelang Oktober ini seramai 80 peratus (pekerja sektor peruncitan) dapat divaksin.
“Tapi sektor peruncitan tak perlu tunggu hingga Oktober jika boleh selesaikan lebih awal seperti dalam bulan ini. Kita amat menggalakkan mereka untuk tampil ke depan (mendapatkan vaksin),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (Fasa 2) untuk Sektor Perdagangan Pengedaran di Design Village, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Hasnol Zam Zam berkata, sehingga kini terdapat sembilan RiVAC di seluruh negara iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Melaka serta Pulau Pinang.
Jelas beliau, pihaknya juga sedang berbincang dengan beberapa kerajaan negeri lain termasuk Johor, Pahang dan Kedah membuka PPV RiVAC di lokasi-lokasi tersebut selepas ini.
“Sehingga kini, seramai 45,960 individu telah divaksin di bawah RiVAC dengan 13,500 daripadanya telah lengkap kedua-dua dos vaksin,” jelas beliau.
Dalam perkembangan berasingan, Hasnol Zam Zam memberitahu, sebanyak 732,893 premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa sejak Mei lalu bagi memantau pelaksanaan SOP.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 8,410 pemilik premis telah diberi amaran dan nasihat manakala 839 kompaun dikeluarkan terhadap premis-premis yang melakukan pelbagai kesalahan SOP.
“Dari segi tahap pematuhan SOP untuk sektor peruncitan pula, kementerian berpuas hati apabila berjaya mencapai sehingga 98.7 peratus sejak sektor ini dibenarkan beroperasi semula,” katanya.










