PERMATANG PAUH: Aktiviti ‘dine-in’ atau duduk makan di kedai tidak akan dilarang di negeri ini sekiranya individu itu telah lengkap divaksin dan tamat tempoh ‘menunggu’ yang ditetapkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya bagaimanapun menyedari ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini belum berani untuk berbuat demikian walaupun perkara tersebut dibenarkan.
“Kita lihat tiada keperluan untuk kita menyekat mana-mana penduduk yang lengkap menerima dua dos vaksin untuk ‘dine-in’.
“Namun, ia (tidak ramai penduduk yang makan di kedai) berlaku disebabkan kesedaran mereka sendiri yang tinggi susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini sekali gus menyebabkan rata-rata mereka mengamalkan sikap yang lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan terdapat larangan untuk ‘dine-in’ di negeri ini memandangkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan di Pulau Pinang kebelakangan ini.
Menurut Kon Yeow, ketika ini ramai pelanggan dipercayai memilih untuk tidak menjamu selera di kedai atau restoran kerana tidak begitu yakin dengan keadaan persekitaran yang belum selamat sepenuhnya.
Pada masa yang sama katanya, walaupun aktiviti itu dibenarkan, masih ramai pemilik kedai makan yang belum membuka premis mereka sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga sebaliknya lebih gemar menyediakan perkhidmatan secara pembungkusan atau pandu lalu sahaja.
“Semua ini secara tidak langsung menunjukkan rakyat Pulau Pinang amat bertanggungjawab dan perkara ini jugalah yang kita mahukan (daripada mereka),” katanya.










