Program vaksinasi turun kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital - Utusan Malaysia

Program vaksinasi turun kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Langkah kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepat proses vaksinasi membuahkan hasil apabila menyaksikan penurunan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah seluruh negara sudah mula melihat perkembangan awal positif daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa negeri iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, kadar pemberian vaksin lengkap di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus manakala kadar pemberian vaksin untuk dos pertama sahaja telah mencecah 104.2 peratus.

“Data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori tiga hingga lima apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.

“Semalam apabila buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Labuan dengan sehingga 14 Ogos (semalam), kadar vaksinasi lengkap telah mencapai 88.1 peratus. Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan diharapkan dapat dilihat berlaku di negeri-negeri lain juga, Insya-Allah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan, data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di jabatan kecemasan hospital kerajaan di Lembah Klang juga bertambah baik apabila purata pesakit menunggu untuk ditempatkan ke wad pesakit telah menurun.

Kata beliau, pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan adalah 909 orang namun hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi Kementerian Kesihatan serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang ketika 13 Ogos lalu.

“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Walau bagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,” jelas beliau.

Selain itu, Muhyiddin memaklumkan, kerajaan dalam usaha mempercepat vaksinasi di negeri yang sedang mengalami peningkatan kes dan pihaknya telah membekalkan dua juta dos vaksin kepada Johor baru-baru ini dan bakal membekalkan 1.5 juta dos vaksin kepada negeri Sabah dalam bulan ini.

Kata beliau, setakat ini sebanyak 44.1 peratus daripada populasi dewasa di dalam negara telah pun menerima vaksinasi lengkap manakala 72.1 peratus telah menerima suntikan dos pertama.

“Semua pencapaian ini tidak mungkin dapat kita lihat pada hari ini tanpa perancangan yang rapi dan pelaksanaan strategi kukuh oleh kerajaan dan kerjasama serta sokongan yang sangat baik daripada rakyat. Saya pernah nyatakan dahulu dan akan katakan sekali lagi, rakyat Malaysia anda semua adalah insan hebat. Anda semua begitu tabah dan sabar mengharungi pandemik ini walaupun pada hakikatnya amat sukar untuk dilakukan.

“Insya-Allah, data-data yang dikongsikan ini menunjukkan perkembangan yang baik. Segala usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin hampir dengan kejayaan dan Insya Allah kita pasti akan berjaya keluar dari cengkaman pandemik ini dengan teratur dan selamat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan lebih ramai yang divaksinasi dengan lengkap, lebih ramai penduduk Malaysia yang dilindungi dari jangkitan dengan teruk, lebih kurang beban kepada sistem kesihatan awam kita dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka supaya kita kembali berperingkat-peringkat ke kehidupan norma baharu.

“Apa yang lebih penting, jangan sesekali kita berputus asa dengan cabaran ini dan lupa bahawa Covid-19 adalah musuh utama kita semua. Semoga Allah sentiasa memberkati perjuangan dan usaha kita bersama, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya