Konflik Asia Barat: Selangor laksana pakej daya tahan berjumlah RM130.4 juta

Konflik Asia Barat: Selangor laksana pakej daya tahan berjumlah RM130.4 juta

Pakej Daya Tahan
AMIRUDIN Shari ditemui dalam sidang akhbar khas Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dengan peruntukan sebanyak RM130.42 juta bagi menangani kesan akibat konflik di Asia Barat.

Rangsangan tersebut dirangka bagi mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi, meningkatkan pengangkutan awam dan memberi bantuan kepada golongan paling terkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai langkah pertama kerajaan negeri bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperuntukkan RM5 juta tambahan bagi penjualan barangan dalam Jelajah Ehsan Ramah (JER) tahun ini.

Menurutnya, keseluruhan peruntukan tersebut berdasarkan semakan dilakukan terhadap Belanjawan 2026 yang dibentangkan tahun lalu.

“Seterusnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta bagi meningkatkan stok bekalan makanan bagi Gudan Makanan Selangor masing-masing RM25 juta dari kewangan negeri dan PKPS.

“Pelaksanaan tersebut dijangka mampu meringankan kos sara hidup berpendapatan rendah yang bakal memanfaatkan sehingga 168,000 isi rumah di seluruh negeri,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Amirudin memaklumkan, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi pemberian baucer Kita Selangor sebanyak RM100 setiap bulan kepada 50,000 penerima sehingga akhir tahun ini.

“Sebagai sokongan kepada pesawah, akan diberikan sebanyak RM500 bagi setiap hektar tanah yang diusahakan, RM300 kepada 2,000 nelayan serta RM450 bagi petani, penternak dan pengusaha akuakultur dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.

“Kerajaan negeri juga melalui 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membantu pelajar sekolah dengan memberikan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di kesemua 873 sekolah dalam tempoh sama mulai Ogos,” jelasnya.

Selain itu, menerusi pakej tersebut juga bantuan sebanyak RM30 sebulan bagi 50,000 warga Selangor turut diberikan bertujuan mengurangkan kos menaiki van Transit Berasaskan Permintaan (DRT).

Beliau menambah, kesan akibat perang antara Iran – Amerika Syarikat dengan Iran itu dijangka berlarutan hingga enam bulan dari sekarang atau sehingga suku pertama tahun hadapan.

“Semalam saya memberi ingatan dan arahan kepada kewangan untuk kita memanggil anak-anak syarikat PKPS, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) supaya dapat menyenaraikan bantuan-bantuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN