SHAH ALAM: Kerajaan baharu diharap dapat ditubuhkan segera bagi menangani wabak pandemik Covid-19, krisis ekonomi serta membela nasib rakyat di negara ini yang terimpak dengan kedua-dua ‘bencana’ itu.
Bagaimanapun, pembentukan itu juga diharapan berjalan lancar dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kebijaksanaan Seri Paduka bagi menentukan Perdana Menteri seterusnya.
Harapan itu diluahkan oleh Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor sambil melahirkan rasa kesal dengan krisis perlembagaan yang berlaku di kala seluruh rakyat sedang berhadapan kesusahan.
“Dalam keadaan ini, dengan sendirinya ia bermaksud menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik siapakah Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, berasaskan kepada undang-undang.
“Kami percaya dan yakin bahawa krisis ini akan dapat ditangani dengan baik apabila Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan baginda dan kuasa yang ada untuk melantik Perdana Menteri yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Seri Paduka menerima surat perletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinetnya selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) diyakini tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan turut berharap, kerajaan baharu akan dapat meneruskan usaha memulihkan negara melalui proses vaksinasi menyeluruh dan pembukaan kembali sektor ekonomi serta sektor-sektor lain untuk kembali beroperasi seperti sediakala. – UTUSAN










