PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggesa sesi khas sidang Parlimen diadakan bagi membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan mendakwa, Muhyiddin tidak bercakap benar dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam.
Sehubungan itu, katanya, iisu sokongan terhadap Muhyiddin dan kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti diputuskan segera.
“Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka.
“Selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan. Raja-Raja Melayu telah bertitah pada 16 Jun lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut memohon agar semua penjawat awam terutama badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral, dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah sekarang untuk menekan atau mengugut ahli-ahli Parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Muhyiddin.
“Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik Covid-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari.
“Kami mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok pembangkang termasuk ahli-ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin iaitu mendesak diadakan Sidang Khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










