Pasaran saham Asia melonjak, sektor AI kembali jadi tumpuan

Pasaran saham Asia melonjak, sektor AI kembali jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham Asia melonjak apabila minat terhadap sektor kecerdasan buatan (AI) kembali mendominasi sentimen pelabur, disokong oleh tanda-tanda ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mula mereda.

Pada penutup dagangan semalam, Bursa Malaysia naik 7.60 mata kepada 1,688.12 berbanding 1,680.52 pada penutup kelmarin.

Indeks ekuiti Asia-Pasifik MSCI meningkat 1.6 peratus, manakala Indeks Taiex Taiwan mencatatkan paras rekod tertinggi. 

Pasaran Korea Selatan yang merupakan peneraju pelaburan AI turut melonjak 3.1 peratus, memadamkan kerugian akibat konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.

Kenaikan ini didorong oleh isyarat Presiden AS, Donald Trump yang membuka ruang rundingan dengan Tehran, sekali gus menurunkan harga minyak dan meredakan kebimbangan inflasi global.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pemulihan pasaran saham ini menunjukkan pelabur kini lebih selesa untuk beralih semula kepada fundamental pertumbuhan ekonomi dan korporat.

“Apabila harapan terhadap de-eskalasi konflik bertambah baik, pasaran akan kembali menumpukan kepada pertumbuhan pendapatan terutamanya dalam sektor teknologi dan AI. Kenaikan harga minyak mentah sebelum ini sememangnya memberi tekanan langsung kepada inflasi, namun apabila ia mula susut, kos pengeluaran dijangka lebih terkawal.

“Situasi ini memberikan kelegaan sementara kepada pasaran ekuiti, namun pelabur perlu sedar bahawa risiko ketidaktentuan masih tinggi memandangkan sebarang ‘berita mengejut’ boleh memicu semula pergerakan harga yang drastik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pelaburan di Syfe Pte Ltd, Ritesh Ganeriwal berkata, pasaran kini sedang beralih fokus daripada risiko geopolitik kepada pertumbuhan pendapatan korporat.

“Apabila harapan terhadap perjanjian Iran bertambah baik, pasaran akan kembali menumpukan kepada pertumbuhan pendapatan dan AI. Pelabur bertindak balas kepada laluan ke arah keamanan. Sebaik sahaja terdapat penyaheskalan yang boleh dipercayai, pasaran akan bergerak melepasi risiko tersebut,” katanya.

Sentimen positif ini turut disokong oleh prestasi Indeks S&P 500 yang pulih sepenuhnya daripada kesan konflik, memberi isyarat bahawa selera risiko global sedang kembali pulih.

Sementara itu, harga minyak Brent susut 1.5 peratus kepada AS$97.85 (RM387.24) setong. 

Penurunan di bawah paras AS$100 ini berlaku walaupun sekatan laut di Selat Hormuz telah bermula, menunjukkan pedagang lebih optimis terhadap potensi dialog diplomatik berbanding gangguan bekalan.

Bagi pasaran logam berharga, harga emas meningkat 0.7 peratus daripada paras terendah minggu lalu didorong oleh kelemahan dolar AS yang kini berada dalam tempoh kejatuhan terpanjang sejak Mac 2024.

Pada pukul 9 pagi, emas spot dibuka tinggi pada AS$4,793.40 seauns (RM609.58 segram) selepas mencecah paras terendah pada AS$4,684.70 (RM595.74 segram) sebelum ini. 

Niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Jun pula naik 0.5 peratus kepada AS$4,791.70 (RM609.34 segram).

Mengulas lanjut, Idham berkata, walaupun emas kekal sebagai instrumen lindung nilai utama, pergerakannya kini berada dalam situasi kompleks.

“Dalam persekitaran inflasi yang meningkat, emas dilihat lebih stabil. Namun apabila kadar faedah tinggi, emas berdepan saingan kerana ia aset yang tidak memberikan pulangan dividen. 

“Ini mewujudkan dilema di mana pelabur perlu menimbang antara perlindungan nilai dan peluang pulangan lebih tinggi daripada instrumen lain seperti bon,” katanya. 

Bagi logam lain, harga perak spot meningkat 2 peratus kepada AS$77.05 seauns, platinum naik 0.4 peratus kepada AS$2,077.72, manakala paladium susut 0.1 peratus kepada AS$1,571.65.

Selain itu, Ketua Makro Global Tastylive, Ilya Spivak menjangkakan emas akan berdepan rintangan sekitar paras AS$4,850 (RM616.78 segram) dalam tempoh terdekat sekiranya tiada pemangkin makroekonomi baharu yang signifikan selain perkembangan hubungan AS-Iran.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN