KANGAR: Ketum Malaysia di Thailand sudah tidak ada nilai apabila harganya yang pernah mencecah RM180 sekilogram khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, menjunam sehingga RM15 sekilogram.
Permintaan terhadap ketum Malaysia di negara gajah putih itu yang semakin berkurangan turut membantu kepada penurunan ketara jumlah atau nilai rampasan daun berkenaan dalam tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025.
Jumlah rampasan ketum pada 2023 yang merekodkan 38,002 kilogram atau 3.8 tan metrik menurun kepada 3.2 tan metrik pada 2024 dan menjunam kepada 5.9 tan metrik tahun lalu iaitu penurunan sekitar 82.37 peratus.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, antara faktor kejatuhan harga dan kekurangan permintaan selepas langkah Thailand menghalalkan ketum sejak beberapa tahun lalu sekali gus menyaksikan rakyatnya bebas menggunakan dan menanam daun berkenaan.
Katanya, selain itu, kawalan ketat oleh pihak berkuasa di sempadan Malaysia-Thailand turut menyukarkan penyeludupan daum ketum.
Beliau berkata, penyeludup juga sudah tidak berminat membawa masuk ketum ke Thailand kerana nilai keuntungan sudah tidak berbaloi.
“Pada masa ini, Thailand mempunyai banyak produk seperti ganja yang bersaing dengan ketum, sekali gus menyaksikan permintaan daun tersebut makin berkurangan.

“Ekoran itu, penyeludupan ketum ketika ini hanya aktif dalam pasaran tempatan khususnya di kawasan selatan seperti sekitar Lembah Klang dan Johor dengan harga boleh mencecah RM40 sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Ogos 2021, Thailand memutuskan untuk mengeluarkan ketum dari senarai dadah yang berbahaya digunakan di negara berkenaan.
Perubahan tersebut menyaksikan rakyat negara itu boleh menggunakan atau menjual ketum secara sah di sisi undang-undang.
Muhammad Abdul berkata, terdapat dalam kalangan penyeludup ketum sudah berhenti dan beralih kepada kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi lain yang lebih menguntungkan.
Sementara itu, beliau berkata, pendapatan pengusaha ketum sudah tidak semewah dahulu disebabkan faktor permintaan berkurangan dan margin keuntungan yang makin menurun.
“Harga daun ketum jatuh kerana pembeli sudah tidak konsisten juga menyaksikan pendapatan penyeludup kini sudah tidak stabil. Pendapatan itu tidak berbaloi dengan risiko tangkapan dan laluan penyeludupan yang semakin sukar,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Abdul memberitahu, modus operandi penyeludupan ketum adalah sama dengan dadah iaitu di kawasan sempadan menggunakan laluan tikus dan tersembunyi.
“Selain itu, menyembunyikan ketum di dalam ruangan kenderaan yang telah diubah suai. Meskipun harga pasaran ketum telah jatuh namun disebabkan kualiti ketum Malaysia lebih baik berbanding Thailand menyaksikan permintaan tersebut masih ada.
“Rampasan ketum yang berjaya dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan juga masih ada,” katanya. UTUSAN










